KUALA LUMPUR: Ringgit kembali meningkat daripada penyusutan semalam apabila ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat, didorong permintaan baharu walaupun mata wang negara maju mencatat momentum positif.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.4945/5000 berbanding dolar AS daripada 4.5005/5055 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal tinggi pada 109.259 mata.

"Pengumuman terkini bank pusat China, People's Bank Of China (PBOC) adalah untuk menghentikan pembelian bon kerajaan.

"Langkah itu menunjukkan pihak berkuasa berusaha untuk mengecilkan jurang kadar faedah dengan kadar Amerika Syarikat (AS) bagi mengukuhkan yuan China. Bagi gandingan dolar-ringgit, ia kekal stabil pada sekitar RM4.50 sepanjang dagangan," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata pada minggu depan, fokus akan terarah kepada inflasi AS dengan Indeks Harga Pengeluar akan dikeluarkan pada Selasa manakala Indeks Harga Pengguna pada Rabu.

Ringgit ditutup kebanyakannya meningkat berbanding mata wang utama lain.

Ia menokok berbanding yen Jepun kepada 2.8461/8497 daripada 2.8466/8500 semasa ditutup pada Khamis, meningkat berbanding euro kepada 4.6298/6355 daripada 4.6382/6434 manakala rendah berbanding pound Britain kepada 5.5296/5364 daripada 5.5271/5332 sebelumnya.

Mata wang tempatan turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit menokok berbanding baht Thailand kepada 12.9824/13.0043 daripada 12.9937/13.0142 semasa ditutup sebelumnya tetapi menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 277.5/278.0 daripada 277.4/277.9.

Ringgit turut menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2843/2888 daripada 3.2865/2906 semalam manakala menyusut berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.71 daripada 7.69/7.71.

-- BERNAMA