KUALA LUMPUR: Sebanyak lima daripada 60 substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 telah dicapai merangkumi tiga bidang utama iaitu pendidikan, kebertanggungjawaban awam dan penguatkuasaan, sejak dilancarkan pada Mei tahun lepas.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi strategi pendidikan, Modul Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) telah diperkenalkan sebagai kursus wajib untuk semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), bagi memberi pendedahan tentang isu rasuah dan kesan negatifnya kepada masyarakat dan negara.

"Kit Duta Sahsiah yang dilancarkan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 25 Nov tahun lepas turut memupuk nilai 'karamah insaniah' dalam kalangan pelajar.

"Selain itu, selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, minggu tema mengenai etika, nilai-nilai murni, dan antirasuah turut dimasukkan dalam kalendar akademik sekolah bagi mendidik pelajar sejak peringkat awal," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan SPRM itu, fokus turut diberikan kepada pengukuhan integriti penjawat awam melalui pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) untuk membudayakan tatakelola baik dalam organisasi kerajaan dan langkah ini menekankan penglibatan semua peringkat dalam kementerian, jabatan dan agensi.

Di bawah strategi kebertanggungjawaban awam, kerajaan mengambil langkah tegas dengan memberi penekanan serius terhadap penyelesaian isu-isu berbangkit yang dilaporkan melalui AG Dashboard.

"Peranan Unit Audit Dalam (UAD) di kementerian, jabatan Persekutuan dan negeri telah diperkasakan melalui pengenalan Garis Panduan Peranan dan Tanggungjawab Pegawai Jabatan Audit Negara yang ditempatkan di UAD Kementerian, Jabatan atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, berkuat kuasa 1 Julai tahun lepas.

"Langkah lebih agresif ini diambil untuk mencegah ketirisan serta penyelewengan dana awam, sekali gus memastikan perbelanjaan kerajaan dioptimumkan demi manfaat rakyat," menurut kenyataan itu.

Di bawah strategi penguatkuasaan pula, Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) telah diwartakan pada 17 Okt 2024, yang akta tersebut mengukuhkan mekanisme penguatkuasaan dengan mewujudkan pendekatan yang terselaras ke arah kawalan sempadan negara yang lebih cekap, demi melindungi kepentingan dan keselamatan negara Malaysia.

"Kerajaan kekal komited memperkukuh agenda tatakelola baik negara, meningkatkan integriti, dan memerangi rasuah. Semua usaha ini dilaksanakan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berintegriti dan bebas rasuah," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA