LONDON: Jadual padat menanti Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja pertama beliau ke London, United Kingdom (UK) sejak menjawat jawatan Perdana Menteri.

Sepanjang lima hari bermula 15 hingga 19 Jan ini, Anwar antaranya dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri UK Keir Starmer di No. 10, Downing Street pada 15 Jan waktu tempatan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar berkata, semasa pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh beberapa perkara termasuk kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan, pengajian tinggi, agrikomoditi, serta tenaga boleh baharu dan alam sekitar.

Selain itu, turut dijangka dibincangkan adalah kerjasama dalam bidang pertahanan, digital, hubungan sesama rakyat termasuk pendidikan, pertukaran kebudayaan dan sektor pelancongan, dan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama seperti Kepengerusian ASEAN, situasi di Asia Barat dan Myanmar.

"Semasa lawatan ini juga, kedua-dua pihak akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan Joint Economic Trade Committee and Other Supporting Mechanism (MUKJETCO) antara Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri bersama Department for Business and Trade (DBT), UK," katanya pada sidang media di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di sini, petang Isnin waktu tempatan.

Sementara itu pada Khamis, Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat bersama Yang di-Pertua House of Commons, Parlimen UK, Lindsay Hoyle.

Mengulas lanjut, Zakri berkata, selain program rasmi dengan negara tuan rumah, Perdana Menteri akan mengadakan Mesyuarat Meja Bulat bersama kapten industri di UK yang melibatkan kira-kira 40 syarikat tempatan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut bakal mengadakan mesyuarat terhad bersama syarikat-syarikat terpilih bagi meyakinkan mereka membuat pelaburan langsung asing ke Malaysia.

"Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri sesi libat urus bersama Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) dan program InvestMalaysia anjuran Bursa Malaysia, Projek Pelancaran Ladang Solar oleh Tenaga Nasional Berhad Malaysia dan Pelancaran Produk oleh YTL Group UK.

"Kesemua program ini merupakan antara usaha untuk mengetengahkan keupayaan negara dalam merealisasikan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI," ujar beliau.

Dalam rangka kerja tersebut juga, kata Zakri, Perdana Menteri akan mengunjungi Battersea Power Station yang merupakan pelaburan terbesar Malaysia melibatkan dana awam di Eropah.

Pada masa sama, Perdana Menteri dijadual menyampaikan syarahan umum khas bertajuk 'The Adaptive Edge: Malaysia’s Global Strategy in an Uncertain Era' di London School of Economics (LSE) dan merasmikan Auditorium Malaysia.

"Syarahan tersebut dijangka dihadiri para jemputan yang terdiri daripada Ketua-ketua Perwakilan dari negara ASEAN, pelajar-pelajar Malaysia, tempatan dan antarabangsa, pengurusan tertinggi universiti, ahli-ahli akademik, serta penyelidik dan cendekiawan," ujar beliau.

Pada Jumaat, Perdana Menteri akan menunaikan solat Jumaat di East London Mosque, disusuli pertemuan dengan komuniti Islam tempatan.

Anwar akan menyumbang naskhah al-Quran terbitan Nasyrul Quran di Putrajaya dengan terjemahan Bahasa Inggeris kepada pihak masjid.

"Seterusnya, Perdana Menteri akan menghoskan Majlis Ramah Mesra bersama diaspora Malaysia di UK yang akan diadakan pada 17 Januari di Hotel Royal Lancaster, di sini dengan anggaran tetamu seramai 700 orang," jelas Zakri lagi. 
 
Perdana Menteri kemudian dijadual berlepas ke Brussels, Belgium pada 19 Jan bagi meneruskan rangka kerja lawatan rasmi beliau.