Pertemuan itu berlangsung di Istana Za'abeel di sini.
Semasa pertemuan berkenaan, kedua-dua pemimpin membincangkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala serta meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data serta isu serantau dan global yang menjadi perhatian bersama.
Turut sama pada pertemuan itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Lawatan kerja tiga hari ke UAE adalah atas jemputan Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW). Anwar tiba di Abu Dhabi pada Ahad.
Terdahulu, Anwar memulakan lawatan hari kedua beliau dengan perjumpaan bersama pihak pengurusan tertinggi Dana Kekayaan Berdaulat negara itu iaitu Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Mubadala dan Masdar di Abu Dhabi.
-- BERNAMA