Pemeteraian tersebut disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, selepas pertemuan dua hala di sini hari ini.
Perjanjian ini akan membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Menurut MITI, Inisiatif CEPA UAE adalah bertujuan untuk meningkatkan perdagangan luar negara bukan minyak kepada AS$1 trilion dengan mengukuhkan hubungan dengan pasaran utama di seluruh dunia.
UAE merupakan pasaran penting, menyumbang 40 peratus daripada eksport barangan Malaysia ke negara-negara Arab, menyerlahkan kekuatan perdagangan Malaysia di rantau itu.
Persefahaman mengenai CEPA ini telah dimuktamadkan pada Oktober 2024 selepas pertemuan dua hala Malaysia-UAE yang diterajui oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan rakan sejawatnya Dr Thani bin Ahmed Al Zeyoudi.
Menurut Tengku Zafrul, CEPA ini menjadi perjanjian perdagangan bebas pertama Malaysia dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Tambah Tengku Zafrul, perjanjian ini antara lain meliputi kerjasama ekonomi, memudah cara pelaburan, membuka peluang perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perdagangan digital, dan kerjasama ekonomi Islam; yang melibatkan pensijilan halal dan kewangan Islam.
Thani, memetik media antarabangsa pula berkata CEPA ini membuka peluang kepada pengurangan tarif, mengurangkan birokrasi perdagangan, meningkatkan kolaborasi sektor swasta dan mencipta peluang pelaburan baharu.
Dalam konteks UAE-ASEAN, Malaysia merupakan negara ketiga menandatangani CEPA dengan negara berkenaan selepas Indonesia pada 2023 dan Kemboja pada 2024. UAE dilaporkan sedang merundingkan perjanjian sama dengan Filipina dan Vietnam sebagai langkah untuk memperkukuhkan hubungan dagang dengan blok negara-negara Asia Tenggara.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE bernilai RM39.53 bilion (AS$8.61 bilion). Pada tahun 2023, UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, dengan jumlah dagangan sebanyak RM39.63 bilion (AS$8.67 bilion).
Malaysia ialah rakan dagang keempat terbesar UAE di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-32 terbesar di peringkat global.