Ia terutama melibatkan pendirian negara terhadap isu-isu serantau dan global, serta tumpuan Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar, lawatan kerja Perdana Menteri ke negara ini adalah atas jemputan rakan sejawatnya Keir Starmer dan ia cerminan hubungan akrab yang terjalin antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin, jelas beliau, dijangka menegaskan komitmen Malaysia-UK untuk memperkukuhkan hubungan dua hala melalui kerjasama yang lebih komprehensif, khususnya bidang ekonomi dan pelaburan, pendidikan, pelancongan serta pertahanan.
“Lawatan ke UK pada kali ini, merupakan lawatan pertama sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
“Ini juga merupakan lawatan ke negara Eropah pertama oleh Perdana Menteri, selaku Pengerusi ASEAN.
“Lawatan ini dijangka memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan UK yang mencakupi pelbagai bidang.
“Lawatan ini akan turut memberi nafas baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-UK di bawah pimpinan Perdana Menteri Starmer yang bermula Julai 2024,” katanya dalam sidang media di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di sini pada petang Isnin, waktu tempatan.
Katanya, Perdana Menteri dan delegasi dijangka tiba di Lapangan Terbang Stansted sekitar jam 10.05 malam waktu tempatan, pada 14 Januari (6 pagi Rabu waktu Malaysia), selepas menamatkan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Zakri menambah, lawatan kerja ini turut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneroka inisiatif-inisiatif baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan susulan penyertaan UK dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Di peringkat ASEAN pula, jelas beliau, Malaysia selaku Pengerusi bagi 2025 akan menggunakan kesempatan lawatan dan pertemuan bagi membicarakan tumpuan dan hala tuju Kepengerusian Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bermula 1 Januari lalu selepas mengambil tugas tersebut daripada Laos.
Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Sehingga November 2024, jumlah perdagangan Malaysia dan UK adalah sebanyak RM15.30 bilion (USD3.34 bilion).
Namun, jumlah eksport Malaysia ke UK telah berkurangan sebanyak 4.1 peratus kepada RM7.83 bilion (USD1.71 bilion) berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah import Malaysia dari UK juga menurun sebanyak 3.4 peratus kepada RM7.47 bilion (USD1.63 bilion).
Walau bagaimanapun, jumlah imbangan dagangan terus memihak kepada Malaysia iaitu sebanyak RM225.3 juta (USD50 juta).
Dari aspek perdagangan, Malaysia merupakan rakan dagang keempat terbesar UK dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Singapura, Vietnam dan Thailand.
Manakala, UK merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah.