Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Lembaga Siasatan telah selesai menyiasat kes berkenaan dan hukuman terhadap kadet itu akan ditentukan hari ini.
"Kementerian tidak akan kompromi dalam perkara ini dan mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikannya daripada menjadi kadet.
"Kita juga akan menuntut balik bayaran tanggungan yang kita telah berikan sepanjang individu itu menjalani latihan sebagai kadet di ALK-UPNM," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.
BACA:
BACA: Agong mahu Kementerian Pertahanan ambil serius kes berulang
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya mengamalkan keterbukaan membabitkan kegiatan buli dan akan bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan membabitkan sebarang perlakuan berkenaan.
"Kita (Kementerian Pertahanan) akan bekerjasama dengan semua pihak, ia kerana kita mempunyai hukuman yang terbatas, paling maksimum ialah untuk memecat daripada menjadi kadet," katanya.
Pada 8 Nov, pegawai kadet ALK-UPNM Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas, 22 Okt lepas.
Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika berkenaan di akademi itu di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras di sini pada 11.45 malam.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA