Beliau berkata pihaknya akan menyiasat apa yang berlaku di ALK sebelum ke fasa tindakan seterusnya.
"Buat masa ini kita akan tengok semua hasil siasatan seperti kelemahan dan sebagainya dahulu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang diambil oleh kementeriannya bagi mengekang kegiatan buli di ALK.
Beliau berkata tidak wajar melontarkan pelbagai gelaran yang boleh merosakkan imej UPNM susulan kejadian buli yang dilaporkan, kerana UPNM bukanlah universiti yang hanya menampung keperluan Kementerian Pertahanan.
"Sememangnya UPNM memberikan tempat kepada kadet-kadet tajaan MINDEF (Kementerian Pertahanan), namun ia juga mempunyai pelajar-pelajar daripada pihak awam.
"Kalau kita lihat jumlah pelajar UPNM yang berdaftar pada masa ini ada 4,200 dan daripada jumlah itu, ada 957 kadet. Ini menunjukkan kadet hanya satu per empat daripada jumlah pelajar dalam UPNM," katanya.
Mohamed Khaled berkata jika kejadian berlaku semasa sesi pembelajaran di UPNM, maka ia menjadi tanggungjawab universiti tetapi bagi kejadian yang berlaku dalam latihan ketenteraan atau di asrama ALK, tidak wajar untuk melabel UPNM dengan pelbagai nama.
"Kadet ini ditaja MINDEF, setiap tahun akan diambil dalam 300 kadet menjadi keseluruhan ALK ada dalam 1,000 dan mereka ini ditempatkan di (ALK). Mereka tidak diletakkan sama dengan asrama pelajar lain ini (UPNM), dan semua berlaku di ALK bukannya di UPNM. Ini (dakwaan kejadian buli) berlaku di ALK di bawah MINDEF," katanya.
Ahad lepas, polis mengesahkan sedang menyiasat kejadian yang membabitkan seorang penuntut UPNM berusia 19 tahun yang disyaki dipijak sehingga cedera parah di rusuk dan belakang badan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.
Bulan lepas, satu insiden lain pula melibatkan kes buli di universiti yang sama, dengan seorang pegawai kadet ALK UPNM telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencederakan pelajar junior menggunakan seterika wap panas.
Sebelum ini negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lepas setelah didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.
-- BERNAMA