KUALA LUMPUR: Pelajar senior yang dipercayai terlibat dalam kes buli penuntut tahun dua Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga mangsa mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak, pada bulan lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Mohd Adil Mat Awang Ghani membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 22 tahun didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Muhammad Haziq Ahmad Rashidi, 19, dengan memijak perut mangsa dengan memakai kasut but (spike but).

Kejadian itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 10.45 malam, di padang kawad Akademik Latihan UPNM, Sungai Besi, di sini, pada 21 Oktober lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau didenda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Namun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Diana Basher yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya masih di bawah tanggungan ibu bapa, baru sahaja menamatkan pengajian dan sedang menjalani latihan.

“Sekiranya syarat tambahan yang dikenakan itu ketat, maka ia akan menganggu proses latihan tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tidak menganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Februari depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan pelatih tahun dua yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.

Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap dengan seterika oleh pelajar tahun empat.