Seorang jemaah haji Malaysia, Daud Kassim, 64 dari Felda Bukit Easter, Kota Tinggi meninggal dunia akibat sakit jantung pada Ahad di Madinah.

Allahyarham merupakan peserta Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tiba di Madinah melalui penerbangan KT12.

Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Baqe' berhampiran Masjid Nabawi selepas solat Asar.

Kematian disahkan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman selepas tiba di Mekah bersama-sama 862 jemaah pada awal pagi Isnin.

Rombongan berkenaan merupakan kumpulan pertama jemaah Malaysia tiba di Mekah dan disambut Timbalan Kementerian Haji Arab Saudi, Hatem Qadhi dan Ketua Muassasah Haji Asia Tenggara Tan Sri Sheikh Zuhair Abdul Hamid Sedayu.

Sementara itu Syed Salleh memaklumkan kerajaan Arab Saudi memandang tinggi usaha Tabung Haji mengurus dan menjaga kebajikan jemaah.

Kumpulan pertama dijadual mengerjakan umrah wajib di Masjidil Haram bermula pagi Isnin.