MINA: Sebanyak 50 peratus daripada 31,600 jemaah haji Malaysia selesai menyempurnakan Nafar Awwal iaitu melontar jamrah pada dua daripada tiga hari tasyrik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Menurutnya, baki separuh lagi kumpulan jemaah akan menyempurnakan Nafar Thani iaitu melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik pada 13 Zulhijjah nanti.

Mohd Na'im Mokhtar berkata, bagi jemaah yang menyempurnakan Nafar Awwal, mereka kini bersiap sedia untuk pulang ke bilik penginapan masing-masing di Mekah.

"Malah, mereka ini juga sedang bersiap-sedia untuk pulang ke tanah air di mana penerbangan pulang pertama adalah dijadualkan pada 24 Jun ini," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Syisya, Mekah dan menyantuni beberapa orang pesakit yang dirawat di situ.



Sebelum ini, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman ada berkata,TH membuat rancangan dan pergerakan yang teliti semasa Operasi Masyair (wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan melontar di Mina) bagi mengurangkan kesesakan di Mina dan melancarkan pergerakan jemaah haji pulang ke penginapan di Mekah.

Sebanyak 10 buah bas disediakan untuk setiap maktab bagi pergerakan balik jemaah ke Mekah sebaik selesai melaksanakan melontar jamrah ada 12 Zulhijah bagi Nafar Awwal.

"Manakala 10 buah bas lagi akan digunakan selepas selesai melontar pada hari 13 Zulhijah bagi Nafar Thani bagi membawa pulang jemaah ke maktab masing masing di Mekah,'' katanya.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata, pengamal media juga turut selesai menyempurkan Nafar Awwal mereka.

Bagi musim haji tahun ini, terdapat 22 orang petugas media daripada pelbagai agensi berita, termasuk dua editor wanita, Dr Azlinariah Abdullah dan Azlinda Salim terlibat dengan liputan haji 2024 menerusi jemputan daripada TH.



Mengenai melontar pula Mohd Na'im memberitahu, untuk tahun ini sekali lagi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memberi Malaysia kelebihan untuk memilih waktu melontar bagi jemaah haji Malaysia untuk mengelak kesesakan.

"Kita telah memilih untuk menjalankan ibadah melontar ini pada waktu malam iaitu 8 malam hingga 12 tengah malam untuk mengelakkan jemaah haji terdedah kepada cuaca terlalu panas dan untuk menghindar kesesakan kerana bilangan jemaah waktu ini agak kurang,” katanya.

TH menempatkan petugas di tempat-tempat tertentu sepanjang perjalanan menuju ke tempat melontar dan balik ke khemah bagi menjaga keselamatan dan memberikan bantuan kepada jemaah haji jika diperlukan.

Malah, bagi memudahkan lagi jemaah, pihak Masyariq turut menyediakan anak batu dalam satu uncang untuk diedarkan sebelum mereka bergerak ke Arafah supaya jemaah tidak lagi perlu untuk mengutip batu apabila berada di Muzdalifah.

Wukuf pada tahun ini jatuh pada 9 Zulhijjah (15 Jun 2024) di mana ia adalah kemuncak musim panas di Arab Saudi.

Bagaimanapun di sebalik cuaca panas dan sesak dengan 1.8 juta umat Islam dari serata dunia, Mohd Na'im berkata, wukuf, iaitu rukun haji, bagi jemaah Malaysia, berjalan lancar tanpa ada insiden tidak diingini.

Sehingga 16 Jun 2024, lapan jemaah haji Malaysia, terdiri daripada 5 lelaki dan 3 wanita meninggal dunia di Tanah Suci akibat pelbagai penyakit.