Satu pasukan petugas khas diwujudkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Sarawak dengan kolaborasi beberapa agensi bagi menangani masalah-masalah yang dibangkitkan di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan yang akan membantu pelbagai masalah masyarakat pribumi itu akan dipantau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun.

"Pasukan petugas khas itu ditubuhkan untuk turun padang ke kawasan-kawasan pedalaman dan rumah-rumah panjang bagi membantu proses permohonan dokumen pengenalan diri individu yang dikenal pasti sebagai pribumi yang telah lahir dan menetap di Sarawak.

"Usaha untuk mendekati penduduk-penduduk di pedalaman pula telah diperhebatkan lagi melalui Pasukan Unit Khas Bergerak (UKB) yang telah menjalankan sebanyak 896 operasi di seluruh Sarawak semenjak tahun 2004 hingga 31 Ogos lepas dengan penyertaan 55,207 orang awam yang bukan sahaja mengemukakan permohonan tetapi hadir untuk mendapatkan khidmat nasihat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Dr Ahmad Zahid selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa mengenai Dokumen Pengenalan Diri Penduduk di Negeri Sarawak di pejabatnya di Putrajaya.

Mesyuarat Jawatankuasa Berhubung Dokumen Pengenalan Diri Penduduk di Sarawak yang diadakan buat julung kali ini merupakan satu lagi usaha Kerajaan dalam menyediakan wahana kepada rakyat di negeri Sarawak untuk mengangkat isu-isu berkaitan dokumen pengenalan diri yang dihadapi di negeri berkenaan.

Katanya, ia adalah berikutan daripada rungutan yang diterima bahawa masih ada lagi penduduk pribumi Sarawak yang telah lahir dan menetap di negeri itu khususnya di kawasan-kawasan pedalaman yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri.

"Jawatankuasa ini akan memantau dan meneliti isu ini dan akan melihat sejauh mana keseriusan perkara ini di lapangan dan seterusnya akan mengambil tindakan-tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang semasa.

"Mesyuarat tersebut membincangkan mengenai Dokumen pengenalan diri seperti Mykad, sijil perkahwinan dan sijil kelahiran yang merupakan dokumen mandatori bagi setiap warganegara Malaysia.

"Isu ketiadaan dokumen pengenalan diri dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi antara fokus utama Kerajaan kerana ia bukan sahaja berperanan sebagai dokumen keselamatan yang digunakan untuk mengenali identiti diri seseorang tetapi juga merupakan rujukan asas yang digunakan untuk mendapatkan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, kebajikan, perbankan dan lain-lain urusan," jelasnya.

Oleh itu kata Dr Ahmad Zahid, kerajaan ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar sentiasa mengambil berat akan kepentingan dokumen pengenalan diri dan memastikan setiap perkahwinan didaftarkan dengan pihak berkuasa yang diperuntukan di bawah undang-undang Malaysia dan juga memastikan setiap kelahiran kanak-kanak didaftarkan di JPN.

"Ini adalah kerana kegagalan untuk berbuat demikian akan menjejaskan proses identifikasi dan penentuan kewarganegaraan seseorang.

"Dalam hal ini, Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk mengakses perkhidmatan permohonan dokumen pengenalan diri di negeri Sarawak melalui 53 Pejabat dan Cawangan JPN serta melalui Pejabat JPN di UTC Kuching dan RTC Sibuti.

"JPN juga akan menggandakan usaha bagi mendekati penduduk-penduduk di pedalaman sebagai inisiatif untuk mengatasi masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri di kalangan penduduk negeri itu," ujarnya.