JEDDAH: Puluhan penumpang Malaysia Airlines yang menuju ke Kuala Lumpur dari Jeddah dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah pada Rabu.

Beberapa penumpang menunggu lebih 24 jam untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pengurusan Malaysia Airlines Berhad (MAB) namun terus hampa.

Penumpang dari Jeddah, Maslina Md Rahman memaklumkan dia menerima e-mel pada tengah hari Rabu memaklumkan penerbangan ke Kuala Lumpur yang sepatutnya berlepas pada jam 10 malam dibatalkan.

“Sudah tentu saya kecewa dengan pengurusan MAS kerana tidak memberi sebarang maklum balas mengenai penerbangan seterusnya yang saya naik.

“Saya menginap semula di Madinah untuk satu malam lagi. Di sisi baik, mungkin saya diberi peluang untuk meneruskan ibadah semula.

“Cuma saya terkilan kerana tidak mendapat sebarang maklum balas dari pihak MAS mengenai penerbangan seterusnya,” katanya kepada Astro AWANI.

Seorang lagi penumpang yang terjejas, Azman Saad memaklumkan terkilan dengan situasi pembatalan penerbangan ke Kuala Lumpur pada malam tadi.

“Saya pun ada hal lain. Saya harap pihak berwajib mengambil tanggungjawab atas situasi sebegini.

“Saya pun ada hal lain juga. Kalau boleh Malaysia Airlines kena ambil perhatian lihat isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat pelancongan ADC Travel & Tours Sdn Bhd, Sura Md Sani memberitahu, pihaknya berdepan situasi mencabar untuk memberi penjelasan kepada pelanggan yang menggunakan khidmat syarikat.

“Syarikat agensi akan dapat e-mel dari pihak MAS, jadi kami akan maklumkan segera ke pelanggan. Rata-rata pelanggan akan melepaskan kemarahan kepada kami.

“Apa yang kami terkilan, bila kami tanya ke pihak MAS, tiada jawapan terperinci diberikan. Sekadar 'nanti kami akan dimaklumkan'... kemudian mereka membisu. Memang mencabar dalam seminggu dunia ini, harap pihak MAS ambil tindakan segera,” katanya.