Sehubungan itu, angka yang menjadi sasaran Amal kata Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Najmi Mansor ialah 40,000 jemaah berbanding 20,000 penumpang.
Menurut beliau, bagi tempoh Januari sehingga April 2024, secara puratanya Amal telah membawa seramai 20,000 jemaah umrah setiap bulan dengan operasi lebih kurang tiga penerbangan sehari untuk ke Jeddah dan Madinah.
“Sasaran kita untuk masa akan datang adalah penambahan sebanyak lima hingga 10 peratus setiap tahun.
“Dari segi jangka masa panjang antara tiga hingga lima tahun, kami ingin mensasarkan penggandaan (jumlah jemaah) sebanyak dua kali ganda daripada apa yang kami operasikan pada tahun ini, iaitu dari 20,000 menjadi 40,000 jemaah,” jelas beliau lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menyertai pakej umrah khas bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) baru-baru ini.
Turut menyertai pakej berkenaan ialah Ketua Pembangunan Digital Amal, Zuraidah Mat Dol; Pengurus Pemasaran Digital dan Sampingan Amal, Maria Azah Abu Bakar; Pengurus Jualan dan Produk Amal, Azizan Ahmad serta Eksekutif Kanan Komunikasi Kumpulan, Aina Shatar.
Wartawan dan jurukamera Astro AWANI turut diundang menyertai pakej yang disertai oleh 30 jemaah yang terdiri daripada kakitangan dan keluarga MAG dan beberapa GLC terpilih.
Ketika ini juga, perkhidmatan Amal turut berkembang pesat di Indonesia dengan menerbangkan jemaah dari negara jiran itu ke Tanah Suci.
Muhammad Najmi berkata, pada masa ini, Amal turut menerbangkan jemaah dari enam destinasi Indonesia iaitu Jakarta, Denpasar, Surabaya, Medan, Pekanbaru dan Yogyakarta.
Kesemua jemaah itu, katanya, akan terlebih dahulu transit di Kuala Lumpur sebelum terbang ke Madinah dan Jeddah bagi melaksanakan ibadah umrah kendalian Amal.
“Daripada 20,000 jemaah umrah yang dikendalikan Amal ketika ini, sebanyak 10 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada jemaah Indonesia selain Singapura, selatan Thailand, New Zealand dan jemaah dari negara-negara Indochina.
“Fokus kami ketika ini adalah untuk menyediakan kesinambangan infrastruktur pengangkutan yang boleh membantu melancarkan pergerakan dari negara-negara ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” jelas Muhammad Najmi lagi.
Sejak mula diperkenalkan pada 2019, Amal, kata beliau, telah menerbangkan sejumlah 1.17 juta jemaah haji dan umrah.
Sementara itu, Muhammad Najmi berkata, Amal telah mengendalikan sehingga 15,800 jemaah pulang ke Malaysia bagi fasa kedua yang bermula pada 24 Jun hingga 20 Julai lepas bagi musim haji 1445 Hijrah /2024 pula,
Amal, jelasnya, mengendalikan sehingga 110 penerbangan untuk musim haji tahun ini dengan 55 penerbangan bagi setiap fasa.
Penerbangan itu menggunakan pesawat A330-300 dengan konfigurasi luas 284 tempat duduk yang memberi tumpuan pada pada perjalanan yang selesa untuk semua jemaah haji.
Apa yang membanggakan, Amal turut melakar rekod apabila menerbangkan kumpulan pertama jemaah haji Singapura ke Arab Saudi untuk menunaikan haji.
“Jemaah haji tersebut turut menikmati perkhidmatan Amal buat kali pertama bersama-sama penumpang haji lain dari Australia, New Zealand, Indonesia dan Kemboja,” jelas Muhammad Najmi.
Beliau turut memaklumkan, Amal juga menerima permintaan penyediaan penerbangan untuk jemaah dari negara-negara di benua Afrika, Asia Selatan dan Asia Tengah.
Justeru, pasaran dari negara-negara itu akan turut diberi tumpuan oleh Amal dalam usaha mengembangkan perniagaan Amal, kata Muhammad Najmi.
“Amal ada menerima permintaan dari negara-negara di Afrika, Pakistan, Asia Selatan dan Asia Tengah yang berminat dengan perkhidmatan yang kami tawarkan, namun disebabkan terdapat beberapa peraturan dan kawal selia dalam industri penerbangan, maka kami sedang mencari rakan strategik untuk kami meneroka pasaran di negara-negara itu.
“Bahkan, Amal juga sudah bercakap dengan Saudi Airlines dan beberapa syarikat penerbangan domestik dalam mencari titik pertemuan kerjasama itu,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Muhammad Najmi turut mengumumkan Amal menyasarkan peningkatan antara 7.5 hingga 8.0 peratus sumbangan pendapatannya kepada Kumpulan menjelang tiga hingga lima tahun akan datang.
Katanya, berdasarkan prestasi pada tahun 2023 dan separuh pertama 2024, sumbangan pendapatan Amal kepada Kumpulan adalah sebanyak lima peratus.
Peningkatan tersebut, jelas Muhammad Najmi, disokong oleh pemulihan pasaran haji dan umrah selain permintaan tinggi untuk mengerjakan ibadah umrah sejak kebelakangan ini.
Tidak ketinggalan, jelas Muhammad Najmi, pembangunan kapasiti yang rancak oleh kerajaan Arab Saudi serta penggunaan e-Tourist Visa dan perkembangan rangkaian Amal yang lebih meluas juga antara faktor yang mendorong peningkatan tersebut.
“Bagi tahun sebelumnya (2022), sumbangan pendapatan mencecah sekitar tiga hingga empat peratus berikutan pasaran haji dan umrah yang masih dalam proses pemulihan pasca pandemik COVID-19.
“Tahun ni kita kembali mencapai prestasi lima peratus sumbangan pendapatan (yang direkodkan) pada tahun 2019 sebab pemulihan dalam pasaran.
“Untuk jangka panjang, kami mensasarkan perubahan sumbangan pendapatan kepada Kumpulan meningkat kepada 7.5-8.0 peratus menjelang 3-5 tahun akan datang,” jelas Muhammad Najmi.
Dalam masa sama, Muhammad Najmi memberitahu, sasaran tersebut juga sudah mengambil kira faktor-faktor boleh ubah seperti ketidaktentuan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat serta harga bahan api dunia.