Menurut Ketua Pegawai Operasi Amal, Muhammad Najmi Mansor, selain menyatakan penghargaan susulan kerjasama akrab yang terjalin selama ini, pengenalan pakej umrah khas oleh Amal itu juga bertitik tolak pada iltizam untuk merapatkan ukhuwah sesama mereka.
Beliau berkata, ilham pengenalkan pakej itu juga datang daripada rakan rakan-rakan strategik Amal yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaan MAG khususnya ketika mengharungi fasa-fasa sukar dan senang.
Bagi tujuan ini, beliau berkata, Amal bekerjasama dengan empat rakan strategik yang terdiri daripada agensi umrah dan pelancongan iaitu MKM Ticketing Travel & Tours, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd, Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd dan KRS Travel Sdn Bhd.
“Matlamat kami di Amal ialah meraikan persahabatan dengan rakan-rakan strategik dan GLC.
“Untuk itu, kami melaksanakan beberapa promosi dan juga tawar diskaun harga bagi menjadikan pakej kami lebih murah berbanding dengan pakej-pakej lain sedia ada di pasaran.
“Antara bentuk kelainan yang kami tawarkan ialah diskaun harga antara lima hingga tujuh peratus,” kata Muhammad Najmi kepada wartawan ketika ditemui semasa menyertai pakej umrah khas bersama GLC baru-baru ini.
Wartawan dan jurukamera Astro AWANI turut diundang menyertai pakej yang disertai oleh 30 jemaah yang terdiri daripada kakitangan dan keluarga MAG dan beberapa GLC terpilih.
Beliau berkata, pakej perintis lapan hari tujuh malam itu menepati matlamat menerusi penerbangan pertama secara langsung dari Kuala Lumpur ke Madinah pada 15 Julai lalul.
Penerbangan pertama pakej umrah istimewa itu disertia 30 kakitangan MAG dan ahli keluarga serta beberapa pengamal media termasuk wartawan dan jurukamera Astro AWANI.
Kata Muhammad Najmi, melalui pakej premium GLC itu, Amal dan rakan kerjasama iaitu agensi pengendali umrah menawarkan penerbangan pergi dan balik dikendalikan oleh Amal serta penginapan di lokasi tumpuan iaitu di Movenpick Hotel di Mekah dan View by Maden di Madinah atau setaraf dengannya.
“Pakej umrah yang kami perkenalkan ini juga menawarkan jangka masa yang pendek iaitu tujuh malam sahaja berbanding pakej yang lazimnya diperkenalkan bagi memenuhi kehendak pelanggan yang terikat dengan jadual kerjaya,” jelas Muhammad Najmi mengenai tempoh masa yang ditawarkan.
Sejak diperkenalkan pada 2019, Amal, kata Muhammad Najmi telah menerbangkan sejumlah 1.17 juta jemaah haji dan umrah.
“Bagi tempoh Januari sehingga April 2024, secara puratanya Amal telah membawa seramai 20,000 jemaah umrah setiap bulan dengan operasi lebih kurang tiga penerbangan sehari untuk ke Jeddah dan Madinah.
“Sasaran kita untuk masa akan datang adalah penambahan sebanyak lima hingga 10 peratus setiap tahun.
“Dari segi jangka masa panjang antara tiga hingga lima tahun, kami ingin mensasarkan penggandaan (jumlah jemaah) sebanyak dua kali ganda dari apa yang kami operasikan pada tahun ini, iaitu dari 20,000 menjadi 40,000 jemaah,” jelas beliau lagi.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Najmi berkata, bagi musim haji 1445 Hijrah /2024 pula, Amal telah mengendalikan sehingga 15,800 jemaah pulang ke Malaysia bagi fasa kedua yang bermula pada 24 Jun hingga 20 Julai lepas.
Jelas beliau, bagi memastikan keselesaan dan kecekapan, Amal mengendalikan sehingga 110 penerbangan untuk musim haji tahun ini dengan 55 penerbangan bagi setiap fasa.
Penerbangan itu menggunakan pesawat A330-300 dengan konfigurasi luas 284 tempat duduk yang
memberi tumpuan pada pada perjalanan yang selesa untuk semua jemaah haji.