KUALA LUMPUR: Industri penerbangan global memulakan prestasi yang baik dan lancar pada awal tahun ini selepas ia semakin pulih daripada pandemik dan penutupan sempadan.
Bagaimanapun, ketegangan geopolitik yang berlaku, kenaikan ketara inflasi serta kos bahan api yang tinggi mengancam industri penerbangan dari segi kewangan.
Walaupun begitu, industri ini menuju ke arah keuntungan pada 2023, hanya tiga tahun selepas mencatatkan kerugian bersejarah melibatkan sejumlah US$140 bilion (US$1=RM4.68) pada 2020.
Jumlah pendapatan keseluruhan syarikat penerbangan dijangka pulih kepada sekitar 93 peratus daripada angka 2019, dengan keuntungan operasi mencecah US$22.4 bilion, demikian menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Unjuran keuntungan bersih berjumlah US$9.8 bilion, dan margin bersih yang tipis iaitu 1.2 peratus.
Ini bersamaan US$2.25 bagi setiap penumpang, kata IATA iaitu sebuah persatuan perdagangan yang mewakili kira-kira 300 syarikat penerbangan yang terdiri daripada 83 peratus trafik udara global.
Ini disokong oleh fakta bahawa harga bahan api jet, walaupun masih tinggi, telah menyederhana sepanjang separuh pertama tahun ini dan ketidaktentuan ekonomi tidak menjejaskan keinginan untuk mengembara atau melancong, kata IATA.
Namun begitu, dengan syarikat penerbangan hanya memperoleh secara purata US$2.25 bagi setiap penumpang, membaiki kunci kira-kira yang terjejas serta memberikan pulangan modal yang mampan kepada pelabur akan terus menjadi cabaran bagi kebanyakan syarikat penerbangan.
Di Malaysia, prestasi sektor penerbangan bercampur-campur dengan operasi MYAirline Sdn Bhd yang singkat, kegagalan perkhidmatan katering Malaysia Airlines Bhd (MAB), dan tanda-tanda masalah kewangan dalam SKS Airways Sdn Bhd. Tetapi di sisi positifnya pula, AirAsia X Bhd telah dikeluarkan daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
Operasi MYAirline yang singkat, SKS Airways tunjuk tanda-tanda tertekan
MYAirline yang dilancarkan pada Disember 2022, kini hanya tinggal kenangan selepas perkhidmatannya ditamatkan pada 12 Okt 2023, hanya sempat beroperasi selama 10 bulan. Lesen perkhidmatan udaranya telah digantung oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
Kekangan kewangan menyebabkan syarikat penerbangan itu perlu menggantung operasi sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat penerbangan sehingga notis selanjutnya.
Gabungan kos overhed yang tinggi, modal yang semakin berkurangan dan pelan pengembangan yang agresif adalah antara punca kemelut syarikat penerbangan berkenaan yang ketika ini sedang mencari pelabur baharu untuk memulihkan operasi.
Sejumlah 533 pekerja syarikat penerbangan itu telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan faedah sistem insurans pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 18 Nov. Namun begitu, nasib syarikat penerbangan itu masih belum dapat dipastikan.
Bagi SKS Airways pula, berita syarikat penerbangan itu mencari pelabur baharu mencetuskan banyak spekulasi, dengan laporan yang menyatakan syarikat penerbangan itu terpalit dengan isu kewangan apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya Dzuleira Abu Bakar, meletak jawatan.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu memberi penjelasan dengan menyatakan ia tidak mempunyai masalah kewangan dan telah menguruskan dengan cekap obligasi kewangannya serta memastikan semua pembayaran dibuat tepat pada masanya.
Pada 25 Mei, syarikat penerbangan serantau itu komited untuk menyewa 10 jet single-aisle Embraer E195-E2 dalam niaga janji bernilai lebih US$840 juta daripada penyewa Azorra semasa berlangsungnya pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) di Langkawi.
Malaysia Airlines dan kemelut syarikat katering dalam penerbangan
Sementara syarikat penerbangan baharu berhadapan beberapa isu pembiayaan dan masalah pengurusan tertinggi, syarikat penerbangan negara pula bergelut dengan kemelutnya dengan syarikat katering dalam penerbangan Brahim's Food Services Sdn Bhd (BFS).
Kontrak katering yang berpanjangan antara MAB dan BFS berakhir selepas rundingan yang meluas antara kedua-dua pihak sejak suku keempat 2022 tidak mencapai kata sepakat.
Pada 1 September lepas, MAB memperkenalkan sajian makanan dalam penerbangan yang disesuaikan semula di laluan yang sebelum ini disediakan oleh bekas penyedia kateringnya, termasuk kacang tanah dan minuman khasnya, makanan dan minuman dalam bekas pakai buang yang disajikan dalam dulang yang ringkas dan mudah.
Selepas hampir tiga bulan berusaha untuk mengadakan semula sajian makanan dalam penerbangan, syarikat penerbangan negara itu berjaya menyelesaikan isu berkenaan pada 15 Nov, dengan mengembalikan sepenuhnya sajian perkhidmatan dalam penerbangan merentas semua sektor, termasuk tawaran minuman lengkap, hidangan panas penuh dan hidangan istimewa.
Selain itu, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), syarikat induk MAB, menerima penghantaran pesawat Boeing 737-8 pertamanya pada 16 Nov. Ia mempunyai buku pesanan sebanyak 25 unit bagi pesawat 737-8 melalui pajakan operasinya dengan Air Lease Corporation, yang akan dihantar secara progresif sehingga 2026.
MAB juga memulakan penerbangan sulungnya antara Kuala Lumpur (KUL) ke Amritsar (ATQ) dan Trivandrum (TRV) mulai 10 Nov dan seterusnya.
Isyarat positif kepada AAX apabila keluar daripada status PN17
AirAsia X memasuki status PN17 yang mempunyai masalah kewangan pada November 2021 akibat gangguan daripada pandemik. Ia kemudiannya ditarik balik pada 19 Okt lepas.
Dalam pengumuman terkini prestasi kewangannya, AirAsia X berkata keuntungan bersih bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 menyusut kepada RM5.56 juta berbanding RM25.09 juta bagi tempoh sama tahun lepas. Bagaimanapun, perolehan dalam tempoh yang dikaji menokok kepada RM648.36 juta berbanding RM100.10 juta pada tahun lepas.
Menurut syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu, syarikat telah mencatat pemulihan melebihi 53 peratus berbanding tempoh sama sebelum COVID-19 walaupun dalam tempoh tinjauan itu pada kebiasaannya meraih jualan rendah akibat kebermusiman sektor antarabangsa.
Maybank Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata, walaupun keputusan kewangan suku ketiga 2023 tidak memberangsangkan berikutan harga bahan api jet yang lebih tinggi daripada jangkaan, AirAsia X dijangka mencatat prestasi kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2023.
"Pada masa depan, kami jangka suku keempat tahun kewangan 2023 akan mengukuh berikutan kadar tambang pada kebiasaannya mencapai paras kemuncak pada suku keempat. Kami meramalkan Thai AirAsia X (TAAX) akan memberi sumbangan penting mulai tahun depan dan selanjutnya," katanya.
Mengenai laluan pengembangannya, AirAsia X bersedia untuk melebarkan sayapnya ke Asia Tengah sebagai syarikat penerbangan pertama melaksanakan penerbangan terus ke Almaty, Kazakhstan, bermula 14 Mac 2024. Selain itu, AirAsia Malaysia tampil sebagai syarikat penerbangan pertama yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Kertajati, Indonesia mulai 17 Mei 2023.
Sementara itu, Capital A Bhd telah memeterai Surat Niat dengan Aetherium Acquisition Corp, syarikat pengambilalihan tujuan khas yang disenaraikan di bursa saham Nasdaq, untuk cadangan penggabungan perniagaan dengan Capital A International.
Batik Air Malaysia bekerjasama dengan Emirates
Emirates mengumumkan perjanjian perkongsian kod dengan Batik Air Malaysia bulan lepas untuk meluaskan capaian rangkaiannya kepada lebih 1,490 bandar di seluruh dunia.
Emirates akan menggunakan kodnya dalam penerbangan yang dikendalikan oleh Batik Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Langkawi, Johor Bahru, Denpasar, Jakarta dan Singapura.
Syarikat penerbangan itu mempunyai 30 perkongsian kod, 11 intermodal, dan 118 rakan kongsi antara garis termasuk Lion Air Group yang berpangkalan di Jakarta dan anak syarikatnya Batik Air Indonesia dan Batik Air Malaysia.
Pengintegrasian CAAM dan MAVCOM akan diteruskan
Di sebalik semua cabaran ini, kerajaan telah melaksanakan pendekatan untuk menyatukan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi mengukuhkan CAAM dan meneguhkan kedudukan kewangannya. Sehubungan itu, fungsi utama MAVCOM akan dipindahkan kepada CAAM.
Mandat ini sudah tentunya dilihat penting untuk meletakkan semua isu perundangan dan teknikal industri penerbangan di bawah satu bumbung bagi meneraju industri dengan baik ke tahap lebih tinggi.
Perbincangan ini telah diadakan sejak 2019 ketika pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan kini, di bawah Kerajaan Perpaduan, penggabungan itu diharap akan tercapai tahun depan bagi menggalakkan persekitaran penerbangan yang lebih selamat.
Selain itu, Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang oleh Malaysia Airport Holdings Bhd awal tahun ini akan menumpukan kepada pembangunan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dalam konteks ekosistem aeroangkasa, penerbangan am atau penerbangan perniagaan, dan lapangan terbang bandar.
2024 dilihat sebagai tahun lebih baik bagi sektor penerbangan
Pada masa depan, Ketua Penganalisis Pusat Untuk Penerbangan Asia Pasifik Adrian Schofield berkata kapasiti antarabangsa di rantau Asia Pasifik terutamanya Malaysia sedang mengikuti pantas dan mungkin mencapai sekurang-kurangnya hampir 100 peratus menjelang akhir 2024.
"Pengembalian semula sepenuhnya trafik China akan menjadi faktor utama kepada pemulihan penuh trafik antarabangsa Asia Pasifik," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kapasiti dan kumpulan pesawat telah berkembang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat memandangkan lebih banyak pesawat kembali beroperasi dan tempahan baharu yang mula diterima, yang dijangka lebih tinggi pada tahun depan.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Nov 27 2023

Industri penerbangan global menuju ke arah keuntungan pada 2023, hanya tiga tahun selepas mencatatkan kerugian bersejarah melibatkan sejumlah US$140 bilion (US$1=RM4.68) pada 2020. - Gambar fail/Bernama

Google bayar US$340 juta kepada Itali selesaikan kes cukai tertunggak
Google dan pihak berkuasa kewangan Itali capai persetujuan serta menyelesaikan audit cukai bagi tempoh 2015 hingga 2020 tanpa prosiding undang-undang.

Rusia sedia sambung perbincangan berkenaan Ukraine - Putin
Dalam masa sama, kata Putin, membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

WHO lapor penyakit baharu belum dikenal pasti di DR Congo
Dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Keputusan dibuat disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain dan selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan.

Shandong Taishan tarik diri saingan ACL Elite, laluan JDT masih samar
Shandong Taishan FC memutuskan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan semalam.

Melaka perhebat program gotong-royong hapus Aedes
Usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Kesihatan Negeri dalam memusnahkan tempat pembiakan yang boleh merisikokan penduduk.

WHO lancar kempen vaksinasi polio besar-besaran di Gaza Sabtu ini
Kempen vaksinasi polio besar-besaran dirancang bermula di #Gaza Sabtu ini (22 Februari), dengan sasaran lebih 591,000 kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.

Rusia buka kedutaan di tujuh negara Afrika menjelang 2026
Menjelang 2026, Rusia berhasrat untuk membuka kedutaan di Gambia, Liberia, Comoros, Niger, Sierra Leone, Togo dan Sudan Selatan.

Maldives akan usir ekspatriat gagal serah data biometrik
Operasi Kurangi, yang dilancar pada Mei 2024, bertujuan untuk menyediakan penyelesaian kekal kepada isu pendatang tanpa dokumen di Maldives.

Rusia, Syria akan adakan perbincangan peringkat tinggi minggu depan
Rusia dan Syria dijadual mengadakan perbincangan peringkat tinggi minggu depan, kata Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.

AirAsia bawa 63 juta penumpang dengan faktor beban 89 peratus pada tahun kewangan 2024
Angka itu berbanding 56.99 juta penumpang yang dibawa AirAsia semasa tahun kewangan 2023.

Capital A sedang bincang pembelian pesawat, sebahagian daripada strategi pengembangan
Ditanya mengenai berapa jumlah pesawat baharu yang dirancang untuk dibeli, Fernandes berkata ia bergantung kepada keputusan lembaga pengarah.

Capital A dijangka keluar daripada status PN17 menjelang suku pertama 2025 - Fernandes
Pelan tersebut, antara lain, termasuk pengurangan modal RM6 bilion, namun tidak akan menjejaskan kekerapan penerbangan atau manfaat pekerja.

Burung langgar enjin punca pesawat AirAsia berpatah balik
AirAsia mengesahkan pesawat yang berpatah balik ke Lapangan Terbang Tawau pada Sabtu lalu adalah disebabkan amaran teknikal berkaitan salah satu enjin pesawatnya yang dilanggar burung.

AirAsia tawar 27,000 tiket tambang tetap ke Sabah, Sarawak sempena Tahun Baharu Cina
AirAsia melancarkan 27,000 tiket tambang tetap bagi perjalanan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

AirAsia bawa lebih 45 juta penumpang setakat ini - Capital A
AirAsia membawa lebih 45 juta penumpang setakat ini, mengekalkan faktor muatan yang tinggi sebanyak 90 peratus, kata Capital A Bhd.

AirAsia pacu KLIA jadi hab mega penerbangan dunia
AirAsia mengukuhkan komitmen untuk memacu keterhubungan ASEAN dan meningkatkan status rantau ini sebagai pusat transit global, setara Dubai.

76 peratus penerbangan menepati waktu yang dijadualkan - Loke
Bagi penerbangan yang menghadapi kelewatan pula sejumlah 90.2 peratus telah ditangguhkan kurang daripada dua jam manakala baki penerbangan ditangguhkan melebihi dua jam.

AirAsia tidak putus asa dapatkan lesen untuk beroperasi di Singapura
"Jangan sekat saya di Singapura," kata Tony Fernandes.

AirAsia kukuhkan rangkaian domestik, tambah 2,000 penerbangan mingguan
AirAsia akan memperluas rangkaian penerbangan domestik di seluruh Malaysia dengan menambah 2,000 penerbangan mingguan dan sejumlah 150,000 tempat duduk bagi 40 laluan utama menjelang akhir tahun ini.