KUALA LUMPUR: Sejumlah 76 peratus daripada 258,112 penerbangan dikendalikan syarikat penerbangan Malaysia telah menepati waktu yang dijadualkan, berdasarkan data dari Januari hingga Ogos 2024.


Ringkasan AI
  • Sejumlah 76 peratus daripada 258,112 penerbangan dikendalikan syarikat penerbangan Malaysia telah menepati waktu yang dijadualkan, berdasarkan data dari Januari hingga Ogos 2024.
  • Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi penerbangan yang menghadapi kelewatan pula sejumlah 90.2 peratus telah ditangguhkan kurang daripada dua jam manakala baki penerbangan ditangguhkan melebihi dua jam.
  • Mengikut data terkini, Malaysia Airlines menunjukkan penambahbaikan dengan kadar -On-time Performance- sebanyak 78.1 peratus pada bulan September berbanding 58.2 peratus pada bulan Ogos untuk laluan domestik.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi penerbangan yang menghadapi kelewatan pula sejumlah 90.2 peratus telah ditangguhkan kurang daripada dua jam manakala baki penerbangan ditangguhkan melebihi dua jam.

Menurutnya, mengikut data terkini, Malaysia Airlines telah menunjukkan penambahbaikan dengan kadar “On-time Performance” sebanyak 78.1 peratus pada bulan September berbanding 58.2 peratus pada bulan Ogos untuk laluan domestik.

Manakala AirAsia telah mencatatkan kadar OTP sebanyak 67.9 peratus pada bulan September berbanding 70.8 peratus pada bulan Ogos untuk laluan domestik.

“Bagi penerbangan antarabangsa, AirAsia mencapai kadar OTP sebanyak 61.7 peratus pada bulan September berbanding 69.5 peratus  pada bulan Ogos.

“Manakala AirAsia X mencapai kadar OTP sebanyak 81.8 peratus pada bulan September berbanding 80.6 peratus pada bulan Ogos.

“Batik Air telah mencapai kadar OTP 73.8 peratus pada bulan September berbanding 82.9 peratus pada bulan Ogos untuk laluan domestik.

“Manakala kadar OTP untuk laluan antarabangsa adalah 57.7 peratus pada bulan September berbanding 71.7 peratus  pada bulan Ogos,” katanya.

Tambah beliau, bagi menangani isu kelewatan dan pembatalan ini, Kementerian Pengangkutan  dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada April 2024 telah menetapkan 85 peratus sasaran OTP dan 80 peratus  penerbangan yang mematuhi jadual.

Jelasnya, ia adalah untuk semua syarikat penerbangan Malaysia yang beroperasi dari semua lapangan terbang di Malaysia.

“Hasil pemantauan prestasi syarikat penerbangan ini diterbitkan di laman web MAVCOM.

“Sekiranya syarikat penerbangan gagal mencapai sasaran, ia boleh memberi kesan kepada permohonan syarikat penerbangan untuk pembaharuan atau menambah hak trafik udara daripada pihak MAVCOM,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen hari ini.