Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Datuk Kapten Chester Voo berkata, kru penerbangan AK5741 yang beroperasi dari Tawau (TWU) ke Kuala Lumpur (KUL) telah mematuhi protokol keselamatan dan operasi yang ketat telah memilih untuk berpatah balik sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan semua yang berada di dalam pesawat.
"Pesawat tersebut mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Tawau, dan kesemua 177 penumpang serta kru turun dari pesawat tanpa sebarang insiden.
"Pemeriksaan kejuruteraan kemudian mengenal pasti punca amaran tersebut adalah disebabkan oleh burung yang melanggar enjin pesawat. Pesawat yang terjejas telah diperiksa dengan teliti, diperbaiki, dan kembali beroperasi seperti biasa." katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Chester berkata, penumpang dijaga dengan baik sepanjang situasi tersebut, dengan penerbangan gantian berlepas dari Tawau pada jam 9.58 malam pada hari yang sama.
"Mereka juga ditawarkan pilihan pemulihan perkhidmatan, termasuk pilihan untuk menukar penerbangan secara percuma, kredit ke akaun mereka, atau bayaran balik penuh, serta baucar perjalanan sebagai tanda penghargaan tambahan," katanya.
Beliau turut menekankan komitmen syarikat penerbangan tersebut bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan mereka.
"Juruterbang dan kru kami bertindak dengan pantas dan profesional, mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada pengendali lapangan terbang dan kawalan trafik udara atas bantuan pantas mereka dalam menguruskan situasi pelanggaran burung ini yang merupakan cabaran yang diketahui dalam industri penerbangan meskipun terdapat usaha mitigasi yang berterusan.
"Kami amat berterima kasih juga kepada penumpang penerbangan AK5741 kerana memahami dan sabar semasa kejadian yang tidak diduga ini," katanya.
Sehubungan itu, Chester berkata, AirAsia bersama-sama dengan Malaysia Airports dan pihak berkepentingan lain, sedang giat menangani risiko pelanggaran burung melalui Program Pengurusan Hidupan Liar.
"Inisiatif ini memberi tumpuan kepada mitigasi pelanggaran burung di kawasan panas yang dikenal pasti di lapangan terbang domestik, memperkukuh dedikasi syarikat penerbangan terhadap keselamatan operasi.
"AirAsia kekal teguh dalam mengekalkan standard keselamatan tertinggi bagi memastikan kesejahteraan penumpang dan kru kami pada setiap masa," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan sebuah pesawat yang membawa penumpang dari Tawau ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik selepas hampir sejam berlepas dipercayai mengalami masalah enjin. - Sinar Harian