Dalam perangkaan operasi penerbangannya, ia berkata kumpulan berkenaan mencatatkan prestasi operasi yang mantap, mengekalkan faktor muatan yang sangat tinggi sebanyak 89 peratus pada suku ketiga 2024.
"Trafik penumpang pada suku ketiga meningkat sebanyak lapan peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada hampir 16 juta berikutan pertumbuhan yang sama dalam kapasiti tempat duduk," katanya.
Sementara itu, Capital A berkata walaupun telah menutup satu hangar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kapasiti hangar Asia Digital Engineering (ADE) masih berkembang daripada tujuh baris kepada 12 baris pada suku tersebut.
Ini berikutan pelancaran enam baris pertama hangar penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) yang baru dibina daripada 14 baris pada Ogos.
"Pada suku ketiga 2024, ADE melengkapkan 13 pemeriksaan penyelenggaraan asas, sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu barisan pemeriksaan penyelenggaraan yang disiapkan pada suku ini melepasi 3,000, peningkatan 17 peratus tahun ke tahun didorong oleh pelancaran operasi ADE di Filipina dan Indonesia," tambahnya.
Ia berkata Teleport juga mengekalkan trajektori pertumbuhannya yang kukuh pada suku ketiga 2024, menghantar 77,341 tan barangan, peningkatan 31 peratus tahun ke tahun dan 21 peratus kenaikan daripada suku sebelumnya manakala pembelian oleh pengguna BigPay kekal stabil, dengan pengguna kad pada suku tahunan meningkat lapan peratus tahun ke tahun untuk mencapai 1.6 juta.
-- BERNAMA