KUALA LUMPUR: AirAsia mengambil langkah berani dalam usaha memposisikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan utama dunia.

Syarikat tersebut mengukuhkan komitmennya untuk memacu keterhubungan ASEAN dan meningkatkan status rantau ini sebagai pusat transit global, setara dengan Dubai.

Pengasas AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, menggariskan pelan berani syarikat untuk mendominasi pasaran syarikat penerbangan tambang rendah global.

"Kami sedang melihat bagaimana kita boleh pergi dari nombor dua di dunia, kepada nombor satu, sebagai hab mega

"Penggabungan operasi penerbangan jarak dekat dan jarak jauh akan membolehkan AirAsia menawarkan lebih banyak penerbangan,

"Menghubungkan destinasi yang sebelum ini tidak pernah diterokai oleh syarikat penerbangan lain," kata Tony.

Katanya, potensi pertumbuhan ini sangat luas diikuti dengan perancangan AirAsia untuk meluaskan laluan penerbangannya ke rantau Afrika, Eropah dan juga Amerika menjelang tahun 2030.

Strategi pengembangan AirAsia bertujuan untuk memantapkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dunia

Pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang lalu, 99.97 peratus pemegang saham Capital A menyokong cadangan pelupusan perniagaan penerbangannya kepada Air Asia X Berhad, yang membuka jalan penstrukturan semula Capital A sekali gus membawanya keluar daripada status PN17.

Kelulusan ini membolehkan Capital A memberi tumpuan kepada empat cabang strategiknya - Perkhidmatan Penerbangan Capital A (CAPAS), MOVE Digital, Teleport dan syarikat jenama AA (AirAsia brand co.).

"Kejayaan AirAsia bukan hanya mengenai keuntungan tetapi ia juga bertujuan untuk membawa rantau ASEAN lebih dekat dengan kita.

"Terima kasih kepada Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) atas persahabatan dan kerjasama yang telah lama terjalin serta memainkan peranan penting dalam perjalanan kami untuk menjadikan KLIA sebagai hab penerbangan bertaraf dunia," tambah CEO Capital A tersebut.

Di samping itu, Menteri Pengangkutan Malaysia,  Anthony Loke Siew Fook, memuji kedua-dua pihak atas pengiktirafan tersebut.

"Ketahanan, inovasi dan kerjasama antara kedua-dua pihak telah menjadi kunci kejayaan ini.

"Kerajaan berbangga menyaksikan transformasi KLIA yang mengukuhkan status Malaysia sebagai pemain utama dalam penerbangan global," kata beliau.

AirAsia berhasrat untuk memperkukuh kedudukan di pasaran sedia ada sambil meneroka peluang untuk membuka lapangan terbang sekunder di kawasan strategik di Asia menjelang 2025.

KLIA kini diiktiraf sebagai lapangan terbang kedua paling terhubung di dunia selepas London Heathrow, menurut Indeks Megahub OAG 2024.

Ia merangkumi lebih daripada 14,500 kemungkinan sambungan tambang rendah  merentasi 137 destinasi dan ini sebahagian besarnya dikuasakan oleh rangkaian luas Air Asia.

Syarikat penerbangan AirAsia X mengendalikan 43 peratus daripada semua penerbangan di KLIA dan menyumbang 74 peratus daripada kapasiti keseluruhan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) di lapangan terbang itu.

Angka tersebut mencerminkan pengukuhan kedudukan Kuala Lumpur berbanding hab serantau seperti Singapura dan Bangkok.

Niaga AWANI: AirAsia | Transforming Kuala Lumpur into world’s next aviation megahub