Tidak pernah ke sekolah, tidak berpakaian, makan minum tidak terurus, tinggal dalam timbunan sampah, lebih malang ibu seorang penagih dadah.

Itu nasib lima beradik di Kampung Bawah Lembah, Pintu Geng di sini yang serba-serbi diabaikan.

Keadaan tempat tinggal mereka kotor dan busuk, seperti bukan tempat yang sesuai untuk dipanggil kediaman manusia.

Namun langsung tiada riak sugul, murung, apatah lagi bersalah pada wanita yang dikenali dengan nama Faridah Yaakob yang dakwanya berasal dari Tawang, Bachok.


Malah ada kalanya dia tersengih, merenung jauh mengelamun seperti berada dalam dunianya sendiri.

Ibu berusia 34 tahun ini mula menyingkap lembaran kisah hidupnya. Menurutnya, dia sudah lama bercerai dengan suami dan bersamanya mereka memiliki enam orang anak.

Anak sulungnya berusia 13 tahun dan kini dijaga bekas ibu mertuanya.

Selebihnya, anak yang berusia 11 tahun, 9 tahun, 6 tahun dan si bongsu yang baru berusia 9 bulan bersama Faridah, tetapi seperti langsung tidak dijaga.

Pakaian, makan minum entah ke mana, mereka hanya menjamah buah jambu sebagai sarapan.

Yang boleh bersekolah, tidak dihantar ke sekolah dengan alasan yang tidak mahu didedahkan, namun difahamkan kerana tidak mahu pendidikan akademik.

Menurut Faridah, kesemua anaknya yang katanya mempunyai surat beranak sudah tinggal bersamanya sejak enam tahun lepas.

Sehingga kini, sewa bulanan RM300 masih dibayar bekas suaminya. Malah bekas suaminya jugalah yang datang membawa makanan untuk anak-anak mereka ini setiap hari.

Dengan tubuh badan kotor, comot dan berkaki ayam, keadaan daif kanak-kanak itu mengundang satu persoalan: Apakah nasib anak-anak ini jika terus dibiarkan begini?