Menurut anak kedua Siti Fairuz, 31, arwah sentiasa berpesan kepada mereka tiga beradik supaya sentiasa buat baik dengan semua orang dan merendah diri.
Katanya sejak dari kecil abang sulung Mohd Firdaus, 32, dan adiknya Azryena Khor, 21, turut dididik agar memberikan komitmen 100 peratus dalam setiap pekerjaan dilakukan serta perlu ada prinsip.
"Kami tiga beradik masih terkejut dengan pemergian 'daddy', namun reda dengan pemergiannya.
“Arwah sentiasa pesan teruskan buat baik dengan semua orang dan sentiasa fokus dan komited dalam melakukan apa-apa pekerjaan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda, di sini petang Khamis.
Menurut Siti Fairuz, arwah sangat berdedikasi dalam pekerjaan dilakukan dan ia turut ditunjukkan dalam penganjuran program Madad Soccer Academy, baru-baru ini.
"Ustaz di Madad ada beritahu arwah walaupun dalam keadaan tenat tetap menggagahkan diri menghubunginya serta menghantar pesanan suara bagi memaklumkan dia tidak dapat hadir program tersebut pada Sabtu ini kerana kurang sihat.
"Daddy memang berdedikasi dalam kerjanya sehinggalah ke akhir hayatnya, jadi kami harap hasrat terakhir arwah yang mahu program tersebut berjaya diteruskan," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Center (Madad) Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusuff berkata, dia akan meneruskan hasrat dan impian arwah untuk mewujudkan akademi bola sepak berteraskan Islam.
Jelas Mohammad Yaakub, Allahyarham telah berkerjasama dengan Madad sejak enam bulan lalu mencari bakat muda di seluruh daerah di negeri ini untuk diserapkan ke dalam Madad Soccer Academy.
“Saya fokuskan kepada Madad Soccer Academy kerana ini aspirasi beliau (arwah) jika hendak diharapkan saya seorang saya tidak ada kekuatan dan pengalaman jadi ini salah satu benda yang kita akan selama-lamanya adalah Madad Soccer Academy dan insyaa allah pengambilan pelajar pun akan masuk pada hujung bulan tiga nanti dengan sebab jasa beliau ini insyaa-Allah sekurangnya ada satu benda yang arwah tinggalkan dengan jasa dan pengalaman,” katanya.
Bekas ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan strok, pada Khamis.
Bekas pemain Kedah era 70-an itu yang nama asalnya Khor Sek Leng telah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978 dengan menganggotai skuad ke Piala Raja Thai, Pra-Olimpik, Pestabola Merdeka, Piala Asia 1976 di Tehran dan Sukan Asia 1978 di Bangkok.
Allahyarham mencatat sejarah membawa Kedah muncul juara double treble pada 2007 dan 2008, selain turut pernah membimbing beberapa pasukan tempatan lain seperti Negeri Sembilan dan Perak serta menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Muda pada 2010.