KUALA LUMPUR: Hospital Bersalin Razif (HBR) menafikan pihak mereka cuai dan melakukan penganiayaan dalam mengendalikan dengan menyimpan jenazah seorang bayi lelaki dan dengan sengaja melengahkan urusan pengebumian.

Dalam kenyataannya, hospital swasta itu berkata ibu bayi berkenaan yang hamil kali pertama, hadir di hospital itu untuk melahirkan anak biarpun tidak melakukan pemeriksaan antenatal terlebih dahulu.

“Dia dibawa ke bilik bersalin dan bersalin hampir serta-merta. Bayinya dilahirkan dengan sindrom cyclopia, dengan sebelah mata, manakala hidung dan dubur tidak ada,” katanya sambil memaklumkan wanita itu ditemani seorang lelaki yang pada awalnya diperkenalkan sebagai suaminya, namun kemudiannya menafikan pernah berkahwin.

HBR turut berkata, bayi itu meninggal dunia sejurus selepas menerima rawatan perubatan, dan lelaki itu diberikan kebenaran untuk menguruskan pengebumian pada hari berikutnya.

Si ibu yang dibenarkan keluar pada keesokan harinya, memaklumkan kepada kakitangan hospital bahawa dia tidak mampu membayar bil hospital berjumlah RM2,480.

Walaupun begitu, HBR berkata pihak mereka membenarkan keluarga itu meneruskan pengebumian.

"Beberapa hari berlalu, HBR terus mengingatkannya untuk meneruskan urusan pengebumian, tetapi wanita itu berkata 'suaminya' sedang menguruskan perkara itu," katanya.

HBR juga mendakwa ada menyediakan kaunseling, makanan percuma dan sokongan kepada wanita tersebut, yang dilaporkan enggan melibatkan polis atau memberikan sebarang butiran keluarganya.

Terdahulu, media melaporkan jenazah seorang bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat selama kira-kira dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang, dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.

Pihak pengurusan hospital didakwa bertegas bahawa bil RM3,600 perlu diselesaikan sebelum sebarang urusan pengebumian boleh dibuat.

(Dalam artikel seterusnya, ada reaksi dari Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad)