Hari ini, Institusi Penyelidikan dan Pembangunan Dasar (IRDP) pula mendakwa, kenaikan itu berpunca daripada tindakan hospital swasta mahu memastikan keuntungan tahunan mereka meningkat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRDP, Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar, senario ini dapat dilihat berdasarkan pembentangan laporan kewangan tahunan hospital swasta yang menunjukan peningkatan setiap tahun.
Kata beliau, pendapatan syarikat-syarikat itu menunjukkan peningkatan setiap tahun, selain keuntungan kasar mereka juga berkembang dengan baik.
“Data menunjukkan setiap tahun operasi hospital swasta ini menunjukkan keuntungan yang terus meningkat.
“Perkhidmatan hospital swasta sekarang adalah 100 peratus bermotifkan keuntungan dengan kebanyakan mereka adalah syarikat di senaraian awam, iaitu saham-saham mereka didagangkan di pasaran saham,” kata beliau dalam sidang media, di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, IRDP menggesa kerajaan meminda Akta Perkhidmatan Hospital Swasta 1998 untuk memastikan lebih banyak caj dan pembayaran yang dimasukkan ke dalam jadual kawalan.
“Kerajaan harus meminda Akta Perkhidmatan Hospital Swasta untuk memastikan lebih banyak bayaran dan caj yang dimasukkan ke dalam jadual kawalan.
“Sekarang ini, caj yang dikawal di dalam akta tersebut hanyalah kos rundingan doktor. Caj-caj seperti penginapan dan caj-caj lain tidak ada kadar yang tetap, terpulang pada hospital swasta ini. Jadi, (hospital swasta) caj mengikut apa yang dirasakan sesuai.
“Ini menjadikan jarak yang besar antara sebuah hospital swasta dengan hospital swasta yang lain,” tegas beliau lagi.
* Artikel ini ditulis oleh NurFarah Fazmi Mohd Helmi, Siti Khairunnisa Samsul Anuar dan Tay Sze Min.
* Penulis merupakan peserta “The Collision Room” by Astro AWANI iaitu sebahagian daripada Project Sigma, sebuah inisiatif global oleh Google News Initiative (GNI).