Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sehingga kini MAIS dan agensi di bawahnya termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak menerima aduan berhubung perkara itu.
Menurutnya, bantuan pasti disalurkan jika perkara itu sampai ke pengetahuan LZS dan agensi berkaitan.
"Kejadian berlaku di Klang tapi tak ada yang hadir sedangkan jarak untuk ke LZS dekat saja.
"Kalau (keluarga) datang untuk laporkan dalam keadaan susah seperti hadapi masalah bayaran bil hospital swasta, pasti bantuan akan disalurkan tetapi sehingga kini tak ada yang datang.
"Jadi kita langsung tiada maklumat ibu bapa atau keluarga terbabit," katanya mengulas berkenaan isu yang tular berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa pelepasan konvoi bantuan banjir MAIS ke Kelantan, Terengganu dan Kedah di Bangunan Sultan Idris Shah pada Jumaat.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, jenazah seorang bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat selama kira-kira dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.
Kisah menyayat hati itu tular di media sosial sejak Selasa selepas Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai perkara itu.
Wan Chai memaklumkan, pihaknya menghadapi masalah sewaktu menguruskan jenazah bayi berkenaan yang diberi nama Muhammad Adham Mikail yang dalam keadaan beku sepenuhnya.
Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata, berita berkenaan kes itu hanya diperoleh daripada media sementara LZS memaklumkan sedang dalam usaha mengesan keluarga berkenaan.
"Kalau berlaku kes seperti ini, tidak kisah rakyat Selangor atau orang luar, biasa ada yang tampil beritahu untuk bantuan.
"LZS mana nak tahu kalau tak dimaklumkan, kalau maklumat tersebut sampai sudah tentu bantuan segera diberikan atau mencari penyelesaian," katanya.
Justeru beliau berharap, umat Islam yang mempunyai kesulitan dan memerlukan bantuan disarankan menyalurkan maklumat bagi meringankan beban.
"Setiap negeri ada lembaga zakat yang sedia bantu org susah dan miskin serta kategori lapan asnaf lain.
"Sekiranya berlaku perkara tak diingini dan mereka termasuk dalam golongan asnaf dinyatakan maka datang ke kaunter zakat, biasanya zakat bantu sedaya upaya seperti kes berlaku ini.
"Perkara ini tak sepatutnya berlaku, jika alasan disebabkan tidak ada duit untuk bayar bil bawah RM4,000," katanya.