KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Prince Court melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai hospital swasta pertama di Malaysia yang berjaya melakukan prosedur 'Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG)' iaitu rawatan baharu inovatif untuk masalah obesiti.

Dalam satu kenyataan, pusat perubatan itu memaklumkan, prosedur berkenaan dilakukan pada 30 Dis oleh pasukan perubatan terdiri Pakar Perunding Gastroenterologi, Datuk Dr Ryan Ponnudurai dan Dr Mandeep Singh Awtar Singh bersama Pakar Bedah Am dan Bariatrik, Datuk Dr Tikfu Gee dan Dr Lim Shu Yu.

Prosedur ESG ialah kaedah invasif minima tanpa pembedahan yang menggunakan endoskop untuk membentuk semula perut dan mengurangkan saiznya dengan jahitan dalaman.

"Teknik ini tidak memerlukan insisi (hirisan) luaran, membantu pemulihan lebih cepat dan meminimumkan ketidakselesaan pesakit," menurut kenyataan itu.

Dr Ryan menyifatkan pengenalan prosedur ESG di negara ini sebagai satu kejayaan dalam membantu menyelesaikan masalah penurunan berat badan yang menawarkan pilihan selamat dan berkesan kepada pesakit, terutamanya mereka yang mahu mengelak daripada menjalani pembedahan.

Dr Lim turut menyentuh mengenai kelebihan menyediakan pelbagai pilihan rawatan.

"Tidak terdapat penyelesaian sesuai untuk semua dalam masalah berkaitan penurunan berat badan dan antara banyak rawatan yang ada ESG adalah pilihan terbaik.

"Ia menawarkan pesakit kaedah yang kurang invasif untuk mencapai matlamat kesihatan tanpa perlu jalani pembedahan, membantu mengawal berat badan dan kesihatan mereka," katanya.

Prince Court melaksanakan prosedur ESG pertama ke atas pesakit berusia 29 tahun dan dia kembali pulih sehari kemudian dan hanya mengalami sedikit kembung perut.

Pencapaian terbaharu Prince Court itu juga menandakan kemajuan ketara dalam rawatan penurunan berat badan.

"Prosedur canggih berkenaan mencerminkan komitmen Prince Court untuk menyediakan penyelesaian berasaskan penyelidikan yang boleh membantu meningkatkan kehidupan pesakit melalui kemajuan penjagaan perubatan," menurut kenyataan itu. - BERNAMA