Ringkasan AI
- Kanak-kanak mangsa GISB menjalani pemulihan komprehensif merangkumi aspek akidah, kaunseling, pendidikan, dan kemahiran, dengan fokus untuk mengembalikan mereka kepada keluarga.
- Pelbagai agensi seperti MKN, KPWKM, JAKIM, dan PDRM berganding bahu menangani isu GISB melalui penguatkuasaan undang-undang, pemulihan mangsa, dan pemantauan aktiviti.
- Pakar terlibat memastikan kanak-kanak pulih secara sejahtera dan mengurangkan trauma akibat menjadi mangsa GISB.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata selain usaha kepada pemulihan mangsa, fokus juga terarah untuk mengembalikan kanak-kanak terbabit kepada ibu bapa dan keluarga masing-masing.
Beliau berkata langkah pemulihan itu turut melibatkan pakar bagi memastikan kanak-kanak berkenaan dapat kembali dalam masyarakat dengan sejahtera, selain mengurangkan risiko trauma akibat menjadi mangsa GISB.
"Semua pendekatan (pemulihan) ini memerlukan kesungguhan dan komitmen pelbagai pihak bagi memastikan kanak-kanak berkenaan tidak terabai dan dapat kembali menjalani kehidupan yang normal dalam masyarakat," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Mohd Na'im menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) berhubung usaha pemulihan bagi kanak-kanak GISB terutama risiko trauma.
Menjawab soalan asal Zakri mengenai langkah kerajaan menangani isu GISB, Mohd Na'im berkata kerjasama strategik yang menyeluruh antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta majlis agama negeri-negeri terus diperkukuh.
Beliau berkata antara langkah menangani isu melibatkan GISB termasuk penyelarasan fatwa berhubung ajaran pengikut gerakan itu, penguatkuasaan undang-undang, pemulihan mangsa dan ahli serta pemantauan berterusan aktiviti GISB.
-- BERNAMA