Hakim Abu Bakar Katar menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan bantahan awal oleh peguam responden dan peguam pemohon bagi mencabar penahanan individu terbabit mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012).
Pada prosiding hari ini, responden yang diwakili Peguam Persekutuan Mohamad Firdaus Sadani Ali, Mohd Zain Ibrahim dan Nur Syahidah Mohamad Kamil dalam hujahan bantahan awal menyifatkan permohonan itu sebagai jalan 'pintu belakang' untuk membebaskan pemohon dengan menggunakan sistem mahkamah.
Mohamad Firdaus berhujah, pemohon perlu melakukan semakan kehakiman atau kaedah lain bagi mencabar penahanan mereka dan bukan menerusi permohonan habeas corpus.
Barisan peguam pemohon pula diketuai Datuk Rosli Kamaruddin, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal dan Zahier Rosli.
Prosiding turut diikuti dua peguam Majlis Peguam Malaysia, R Jayabalan dan Khairul Azwad, yang memantau bagi kepentingan awam.
Dalam prosiding sama, hakim turut membatalkan permohonan habeas corpus Pengurus Kafe Ikhwan milik GISB di Kluang, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, selepas ia ditarik balik barisan peguam pemohon memandangkan plaintif telah dibebaskan di bawah jaminan Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, pada 30 Oktober lalu.
Prosiding permohonan habeas corpus Nasiruddin dan Azura didengar pada 30 Oktober lalu, dengan kedua-dua pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan Suhaimi dituduh atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka dan kesemua 19 individu lain kerana kes mengikut SOSMA berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama 10 yang lain menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.