Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya dalam proses perbincangan pendakwaan dengan pihak pendakwa raya syarie.
Menurutnya, jumlah kes yang akan didakwa kelak adalah di bawah kuasa pendakwa raya.
"Sekarang dalam proses kehendak pendakwaan masih disempurnakan dalam tempoh seminggu ini.
"Insya-Allah jika ada kes akan didakwa secepat mungkin dan jika tiada kes maka tunggu kepada langkah pendakwa raya seterusnya," katanya mengulas perkembangan kes GISB di Selangor.
Beliau ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2024 di Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini pada Khamis.
Pengumuman turut disekalikan dengan keputusan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran (SAMTQ), Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran Kurikulum Bersepadu Tahfiz (SAMTQKBT), Sijil Agama Turath dan Dakwah (SMATD), serta Sijil Kafa Menengah (SKM).
Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata, kebanyakan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 12 (c) Enekmen Jenayah Syariah Selangor iaitu melanggar fatwa sedang berkuat kuasa.
"Lain-lainnya akan ditentukan oleh pendakwa raya dan kemungkinan akan pertimbangkan jika ada isu berkenaan fakta dan sebagainya.
"Selain itu, akan lihat juga seksyen berkaitan cubaan menghidupkan semula ajaran GISB tersebut," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, modul pemulihan pengikut GISB adalah selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mengintegrasi kumpulan itu kepada sistem arus perdana.
"Bukan sekadar kembalikan kefahamannya tetapi bagaimana cara anak-anak ini dapat duduk dalam sistem mainstream (arus perdana) kerana selama ini mereka mendapat sokongan dalam kumpulan GISBH.
"Ini selaras keputusan kerajaan untuk semua agensi terlibat khususnya institusi agama, bukan sekadar pulihkan akidah tetapi aspek sistem pendidikan, sokongan sosial untuk mereka hidup bersama masyarakat seperti biasa," katanya. - Sinar Harian