Salah seorang daripada wartawan tersebut, Hariz Mohd memaklumkan, mereka memberikan kerjasama dalam siasatan namun tetap berpendirian tidak mahu mendedahkan nama sumber berita tersebut.
“Soalan-soalan tadi cuba bertanyakan siapakah sumber kami. Saya hormati tugas sebagai pegawai polis untuk bertanya tapi sebagai media, kami mengharapkan supaya hak media untuk melindungi sumber akan dihormati,” katanya ketika ditemui selepas rakaman keterangan diambil di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, pada Jumaat.
Mereka diwakili peguam, Rajsurian Pillai yang memaklumkan siasatan dibuat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Mereka memberi kerjasama penuh, datang hari ini dengan sukarela tak ada masalah. Pegawai penyiasat pun sangat profesional melakukan tugas.
“Mereka bertanya lebih kurang 27 soalan, antaranya cuba bertanya siapakah sumber di mana maklumat diperolehi untuk tulis artikel tersebut.
“Kebanyakan soalan akan dijawab di mahkamah dan etika kewartawan tetap ada, mereka tak boleh dedah siapa sumber mereka,” katanya.
Rajsurian juga memaklumkan siasatan masih berjalan namun tidak diketahui jika tiga wartawan itu akan kembali dipanggil.
Terdahulu, portal berita itu dalam laporannya mendakwa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain antara nama yang bakal ditukarkan ke agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri.
PDRM kemudiannya menafikan ada mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung laporan tersebut.