KUALA LUMPUR : Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar secara peribadinya tidak melihat laporan sebuah portal yang berkaitan dakwaan bakal berlaku rombakan kepimpinan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai berniat jahat atau berunsur fitnah.

Sebaliknya, beliau berpandangan kecenderungan wartawan menulis laporan tersebut yang memetik sumber dalaman sebagai komplimen kepada pihak polis.

“Secara jujur saya menganggap Polis Malaysia masih dihormati dan disanjung tinggi dan rakyat masih prihatin terhadap mereka.

“Mungkin minat yang besar terhadap pasukan polis mendorong wartawan berkenaan menulis laporan tersebut. Saya menganggapnya sebagai komplimen bagi pasukan polis,” kata Johan dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain daripada pandangan konstruktif tersebut, Johan turut memberi peringatan kepada pihak berkuasa bahawa tindakan memanggil wartawan adalah langkah mundur.

“Ini bukan negara polis.

“Wartawan sepatutnya boleh menjalankan tugas mereka  tanpa takut dan pilih kasih. Media bebas adalah teras sebuah demokrasi yang berfungsi,” tambah beliau.

Pada masa yang sama, Johan bersetuju dengan kenyataan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) bahawa “kerjasama” dalam sebarang penyiasatan oleh pihak berkuasa tidak seharusnya memasukkan tuntutan untuk mendedahkah identiti sumber.

“Ini bertentangan sama sekali dengan Kod Etika yang dikeluarkan sendiri oleh Kementerian Komunikasi.

“Tugas wartawan mempertahankan sumber mereka amat penting dan tidak boleh digalang ganti,” jelasnya.