KUALA LUMPUR: Sebelas wartawan veteran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerima Anugerah Wartawan Sepanjang Hayat pada Anugerah Jubli Intan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) malam tadi.

Anugerah berkenaan diberikan kepada mereka atas komitmen terhadap amalan standard tertinggi kewartawanan dan komitmen untuk menegakkan prinsip integriti, keadilan dan kebenaran dalam masyarakat.

Penerima anugerah berkenaan ialah bekas Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mokhtar Hussain, bekas Ketua Pengarang Datuk Jaafar Husin, Prof Datuk Ahmad Murad Merican dan Bekas Pengarang Eksekutif Bernama Zainoor Sulaiman.

Turut menerima anugerah ialah bekas Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Ahmad, Abd Karim Abd Shukor, S N Rajan, Tan Jooi Long, S Sivaselvam dan Zulkafly Baharuddin.

Anugerah berkenaan disampaikan bekas Pengurus Besar dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden NPC Datuk Ahirudin Attan, Naib Presiden NPC Farrah Naz Karim, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu Arul Rajoo Durar Raj.

-- BERNAMA