Sala yang ditahan polis Tehran pada 19 Disember ketika sedang membuat liputan di ibu negara Iran, dibebaskan berikutan usaha diplomatik dan risikan oleh pihak berkuasa Itali, menurut kementerian luar negara tersebut.
"Pesawat yang membawa wartawan Cecilia Sala pulang, telah berlepas beberapa minit lalu dari Tehran," kata pejabat Meloni dalam satu kenyataan. Sala dijangka tiba di Rom pada tengah hari Rabu.
"Terima kasih kepada usaha yang intensif melalui saluran diplomatik dan perisikan, rakyat kita telah dibebaskan oleh pihak berkuasa Iran dan kini dalam perjalanan pulang ke Itali," menurut kenyataan itu.
Meloni turut berkongsi berita pembebasan Sala di X, platform media sosial yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam usaha membebaskan Sala, "membolehkan beliau bertemu dengan keluarga dan rakan-rakannya."
Perdana Menteri juga berkata beliau telah memberitahu ibu bapa Sala secara peribadi mengenai pembebasannya melalui panggilan telefon.
Penahanan Sala telah menimbulkan spekulasi di media Itali mengenai kemungkinan kaitan dengan penahanan Mohammad Abedini, seorang jurutera Iran yang ditahan di Lapangan Terbang Malpensa, Milan, pada 16 Dis, tiga hari sebelum Sala ditahan. Abedini ditahan atas waran Amerika Syarikat (AS).
Pembebasan Sala berlaku beberapa hari selepas Meloni membuat lawatan mengejut ke Florida untuk bertemu dengan Presiden terpilih AS Donald Trump di kediamannya di Mar-a-Lago.
Kepulangan Sala menandakan berakhirnya ketegangan dalam perundingan diplomatik, dengan kerajaan Meloni memberi kredit kepada rundingan di belakang tabir bagi pembebasannya.
-- BERNAMA