KALININGRAD (Rusia): Wartawan mampu kekal relevan dalam era dunia multipolar jika menghapuskan mentaliti untuk menjadi selebriti popular, sebaliknya menumpukan kepada usaha menyatakan kebenaran kepada orang ramai.

Langkah itu perlu diamalkan golongan profesional media termasuk wartawan meskipun industri memerlukan jumlah penonton dan pengikut yang ramai.

Demikian pandangan disuarakan Pengarah Komunikasi BRICS, Perikatan Perniagaan Wanita NPO Afrika Selatan, Nonkululeko Patricia Mantula pada satu sesi dialog di sini semalam.

“Mari kita gunakan platform yang ditawarkan kepada kita daripada pelbagai pihak seperti platform BRICS, untuk berinteraksi sesama kita.

“Saya fikir dunia akan jadi tempat yang lebih baik apabila kita mula jadi lebih baik antara satu sama lain dan kita menyatakan apa yang relevan berbanding menyatakan apa yang membayar kita,” katanya ketika ditemui selepas sesi tersebut.

Nonkululeko Patricia Mantula. - Foto Media SHUM 2024

Sesi dialog bertajuk ‘Kewartawanan Dalam Era Dunia Multipolar’ dianjurkan sempena Forum Pendidikan Belia Seluruh Rusia (SHUM) 2024 yang berlangsung di sini.

Terdahulu, Nonkululeko menyatakan naratif berita media Barat didakwa berat sebelah dan orang ramai perlu ‘berhenti belajar’ naratif yang telah dibawa selama ini.

“Kalau anda belajar kewartawanan di kolej atau universiti, ia datang dari buku teks yang ditulis kebanyakannya oleh Barat, bukannya datang daripada kami (Afrika Selatan).

“Kita semua perlu berhenti belajar semua ini kerana terdapat banyak perkara berat sebelah.

“(Sebaliknya) kita perlu mula belajar daripada pertukaran budaya, interaksi sesama kalangan negara Selatan Global, selain mengajar antara satu sama lain mengenai apa yang berlaku dalam negara termasuk mengenai geopolitik," jelasnya lagi.

Foto Media SHUM 2024

Sementara itu, Wakil Timbalan Kementerian Hal Ehwal Luar Rusia di sini, Kalkuta Alexander Mikhailovich berpendapat, transformasi kewartawanan terdedah kepada berita palsu memandangkan terdapat banyak sumber maklumat yang mudah didapati ketika ini.

“Anda boleh lihat ramai wartawan dan blogger dari pelbagai negara di sini. Saya rasa kesemuanya sangat muda, progresif dan bakal menjadi wartawan yang berjaya di masa hadapan.

“Jadi, kekalkan fikiran yang terbuka dan periksa semua fakta dan semua berita. Buat hubungan baru. Jawapan utama kepada semua masalah ini adalah dengan membentuk sebuah komuniti baru yang memahami apa yang baik dan buruk, serta benar dan palsu,” tambahnya.

Kalkuta Alexander Mikhailovich. - Foto Media SHUM 2024

Pandangan itu turut disokong oleh pakar media dalam Analisis Geopolitik dan Hal Ehwal Ketenteraan Brazil, Lucas Leiroz de Almeida.

“Saya fikir tugas saya sebagai wartawan dan penyokong dunia multipolar adalah menyatakan kebenaran, kerana kebenaran bukan dari Barat, tetapi ia adalah apa yang difikirkan oleh semua di peringkat antarabangsa.

“Itulah sebabnya inisiatif seperti forum ini sangat penting, kerana kita perlu mengumpulkan orang dari seluruh dunia dan memberi mereka peluang untuk menunjukkan satu perkara, iaitu pendapat sebenar mereka,” jelasnya ketika ditemui Astro AWANI.

Lucas Leiroz de Almeida. - Foto Media SHUM 2024

Untuk rekod, seramai 300 profesional media belia yang terdiri daripada wartawan, pencipta kandungan, pempengaruh dan pengurus media sosial daripada 86 buah negara menyertai forum SHUM 2024.

Bertemakan Industri Kewartawanan 5.0, forum SHUM yang memasuki edisi ketiga tahun ini dibuka untuk penyertaan daripada pelbagai negara.

Penganjuran SHUM antara lain memberi peluang kepada semua peserta berkongsi pengalaman, kepakaran dan pengetahuan, selain menyumbang kepada dialog antarabangsa yang diadakan dalam kalangan golongan profesional media belia.

Foto Media SHUM 2024