Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ketika ini, AI belum memungkinkan pengamal media untuk berkarya menggunakan teknologi itu bagi menghasilkan laporan berita atau mencatatkan peristiwa yang berlaku.
"Saya tidak lihat pada waktu ini keupayaan AI mampu mengganti tugas wartawan dalam membuat liputan, sebagai contoh hari ini yang merakam untuk laporan di lapangan namun ada beberapa aspek penggunaan AI yg boleh dimanfaatkan contohnya menghasilkan papan cerita," katanya pada majlis perasmian program Jejak Panda oleh foodpanda Malaysia di Pantai Dalam di sini hari ini.
Beliau berkata sebagai contoh, ketika ini karya-karya sama ada pendek atau penuh yang menggunakan teknologi itu masih belum memungkinkan ia berfungsi seperti watak sebenar.
"Sama juga ia tidak boleh sepenuhnya mengggantikan pereka grafik, kalau tidak masakan sebuah syarikat pengiklanan menghasilkan satu poster yang ada tiga menara berkembar, yang jika dicipta oleh seorang pereka, ini tidak akan berlaku.
" AI ada kelebihan dan kekurangan, AI bukan pengganti manusia," katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial papan iklan digital janaan AI memaparkan Menara Berkembar Petronas sebagai mempunyai tiga menara, bukannya dua yang difahamkan dipasang bagi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sempena Bulan Kebangsaan di Desa Sri Hartamas di sini.
-- BERNAMA