SEOUL: Perdana Menteri menegaskan tidak risau dan bimbang mengenai pendedahan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai cubaan mengagalkan gabungan Kerajaan Perpaduan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan yang diketuai beliau ketika ini adalah kuat dan bulat dengan sokongan daripada parti-parti politik utama termasuk Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Itu biasa politik, saya tidak risau. Tetapi menariknya Ahmad Zahid diserang hari-hari dan saya diserang kerana kekalkan dia. Orang menyerang dia bukan sebab kes dia. (Pembangkang) menyerang dia kerana dia (Ahmad Zahid) tidak mahu bersekongkol dengan mereka.

“Kalau dia memilih untuk menyertai pembangkang, maka semua kesalahan akan dipadamkan. Apabila saya melihat itu, saya nyata bahawa orang ini (pembangkang) bukannya peduli mengenai kes yang disebutkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia di Republik Korea pada Isnin.

Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, tidak akan masuk campur sebarang urusan siasatan, pendakwaan dan prosiding di mahkamah.

“Ada orang tanya, mengapa tidak campur (tangan) kes baru-baru ini mengenai dakwaan rasuah? Mengapa Anwar tidak ambil tindakan tegas? Saya hanya boleh sebut siasat. Ada kes, maka siasat.

“Saya tidak boleh campur siasatan. Saya tidak boleh masuk campur soal pendakwaan dan jatuhkan hukuman dengan bisik kepada hakim untuk jatuhkan hukuman.

“Kalau saya buat begitu, saya tidak belajar daripada pengalaman lalu. Saya tahu benar, apabila ada orang masuk campur (urusan mahkamah) jahanam negeri ini,” ujarnya.

Pada Ahad, dalam ucapan perasmian Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024, Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi BN mendedahkan wujudnya usaha memujuk gabungan itu meninggalkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

Tanpa mendedahkan pihak terbabit, beliau mendakwa, gabungan itu turut ditawarkan jawatan perdana menteri jika bersetuju dengan cadangan tersebut.