Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan adalah daripada semangat yang sama ditunjukkan oleh pejuang kemerdekaan yang bersedia untuk bertolak-ansur demi mencapai cita-cita negara yang lebih besar.
“Sepertimana pemimpin peringkat awal kemerdekaan. Bapa-bapa dan ibu-ibu pejuang kemerdekaan yang memikirkan fokus mengenai negara ialah merdeka. Merdeka untuk siapa? Merdeka untuk rakyat, yang bermakna ada tolak-ansur.
“Mana mungkin kita setuju dengan semua (perkara). Mana mungkin kita setuju dengan semua kaum, budaya dan wilayah. Mana mungkin kita selesaikan dan memuaskan semua pihak. Tetapi, wajib untuk kita pastikan negara ini ditadbir dan dikelola dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia di Republik Korea pada Isnin.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun juga menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan dan keluhan rakyat perlu ditangani dengan hemat.
Lantaran itu, beliau menyelar tindakan kelompok yang cuba untuk mencetuskan ketidakstabilan dengan membangkitkan isu-isu perkauman, seolah-olah hanya kaum tertentu yang menerima manfaat terbanyak dalam pembangunan negara, sedangkan kaum yang lain terpinggir.
“Negara aman ini juga adalah kerana kesedaran rakyat. Rakyat tidak hanya melayan karenah bibit-bibit (perpecahan). Saudara fikir, semuanya tenang? Masih ada usaha orang bawa cerita permusuhan dari segi kaum.
“Negara Malaysia ini harus Melayu. (Kelompok) Cina pula dakwa tidak ada tempat sama sekali (di Malaysia), habis semua haknya. (Kelompok) India pula tidak mengaku apa (manfaat) yang mereka dapat. Seolah-olah (masyarakat) India ini dianak tirikan. (Kelompok) Sabah pula kata mereka sudah terpinggir, Sarawak pula kata mereka terbiar.
“Ada unsur-unsur melampau dari segi kaum. Tetapi kalau kita layan ini semua, maka berpecah-belah. Apabila berpecah belah, maka semua rugi. Sebab itu, kita akui ada masalah tetapi kita cuba selesaikan dengan cara yang baik,” katanya.