KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengadakan sesi libat urus bersama media  bagi memberi kefahaman mengenai peranan yang dimainkan oleh kementerian itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, sesi bersama pengurusan tertinggi dan pegawai PETRA adalah julung kali dianjurkan sejak kementerian itu diwujudkan.

“Sesi libat urus ini adalah platform untuk para media mengenali dan memahami peranan yang dimainkan oleh PETRA bersama agensi-agensi yang bernaung di bawahnya.

“Sebab itulah kita adakan program ini dengan harapan para media turut dapat berkenalan dengan pihak pengurusan tertinggi PETRA,” katanya semasa program tersebut yang berlangsung di Cyberjaya pada Jumaat malam.

Sementara itu, Fadillah dalam kenyataan di laman Facebook menambah, kementeriannya amat menghargai kerjasama dan sokongan berterusan yang diberikan oleh rakan-rakan media dalam menyebarluaskan dasar, inisiatif serta program yang dilaksanakan kerajaan menerusi PETRA demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Hadir sama dalam sesi libat urus, Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ketua Setiausahanya, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli; Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), Datuk Mohd Razif Mohd Mubin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Air), Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri.

Turur hadir agensi-agensi di bawah PETRA iaitu Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA); Suruhanjaya Tenaga; Indah Water Konsortium Sdn. Bhd (IWK); Jabatan Pengairan dan Saliran; Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM); Jabatan Bekalan Air; Pengurusan Aset Air Berhad dan MyPower.

Susulan rombakan Kabinet pada Disember 2023, PETRA ditubuhkan bagi menerajui tadbir urus bekalan elektrik dan air yang mampan serta inklusif dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.