Tiga termasuk seorang bayi berusia setahun maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di kilometer 124 Jalan Kuantan-Johor Bharu di Rompin dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Zainal Omar Mahamud berkata pada kejadian 9.30 malam itu, pemandu kedua-dua kereta maut di tempat kejadian iaitu seorang anggota polis, Sarjan Zainuddin Bakar, 57, dan Bayam Ija, 53.

Manakala cucu Zainuddin, Mohd Aras Iskandar disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Rompin.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Hyundai Accent dipandu Zainuddin dari Kuantan ke Mersing, Johor terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta Proton Iswara dinaiki Bayam," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Zainal Omar berkata kemalangan turut menyebabkan anggota keluarga Zainuddin, iaitu isteri dan anak perempuannya cedera di kepala, manakala anak tirinya yang berusia tujuh tahun selamat.

Dua lagi rakan Bayam pula masing-masing cedera di kepala dan patah kaki.

Zainal Omar berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA