PUTRAJAYA : Memasuki tahun kedua, program larian Rimba Kita berlangsung meriah pada pagi ini, menyaksikan Taman Wetland Putrajaya dibanjiri lebih 1,200 peserta mengambil bahagian.

Program larian anjuran Astro Malaysia Holdings Bhd dan World Wildlife Fund (WWF) Malaysia ini bermula pada jam 7.15 pagi dengan sesi memanaskan badan berlangsung selama 30 minit bersama Didi & Friends, Abang Paan, Tong Tong, Doo Doo dan CoCo.

Flag off larian Rimba Kita sepanjang lima kilometer kemudiannya berlangsung tepat jam 7.30 pagi.

Berkongsi sambutan larian edisi kali ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings, Euan Daryl Smith berkata, beliau begitu teruja melihat penyertaan luar biasa daripada peserta pada pagi ini.

“Larian Rimba Kita berjaya menunjukkan kuasa tindakan masyarakat. Dengan lebih 1,200 peserta, saya gembira melihat inisiatif Astro dapat meningkatkan kesedaran meningkatkan kejayaan dalam melindungi khazanah alam semula jadi.

“Acara ini adalah bukti apa yang boleh kita capai apabila kita bersatu dengan tujuan sama,” katanya ketika ditemui.

Tambah beliau, acara ini juga antara usaha memupuk gaya hidup yang seimbang antara kerjaya dan kehidupan yang sihat

Larian Rimba Kita mempertandingkan kategori terbuka lelaki, wanita, veteran, fun run (larian santai) dan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Euan berharap, larian Rimba Kita dapat diteruskan pada tahun akan datang dalam usaha menyelamatkan dan memelihara hutan.

Pada tahun ini, Astro menjalin kerjasama dengan beberapa organisasi termasuk Taman Wetland Putrajaya, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei, Taman Tugu dan the Global Environment Centre.

Acara riadah itu turut mendapat sokongan penaja utama antaranya Kaon, Alphabet Capital dan Huawei Cloud. Penaja lain termasuk Salad Atelier, Love Nature, Asics dan Snappymob. Acara itu turut disokong dengan kehadiran Bulan Sabit Merah Malaysia (MRC), Persatuan Orang Buta Malaysia, Teach For Malaysia (TFM), ISSF Sport Stacking Malaysia, Cenviro, dan Decathlon.

Sementara itu, Astro juga kekal komited memupuk masa depan yang lebih hijau dengan penyusunan berterusan dan penyiaran kandungan alam sekitar, penajaan pokok dan penanaman pokok sukarela secara berkala.

Astro dengan kerjasama Love Nature serta WWF mempersembahkan koleksi program-program dokumentari bertemakan Rimba Kita yang berkisarkan  tentang memelihara hutan kita. Tonton sekarang hingga 1 Disember di Astro GO dan berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik.