Final Piala Dunia Ragbi Wanita di Twickenham pada 27 Sept akan menjadi kemuncak kepada siri acara menarik yang diadakan di bandar raya itu.
Pasukan England akan memasuki kejohanan itu dengan harapan menewaskan juara dunia New Zealand dengan persediaan bermula pada kejohanan Six Nations musim bunga ini. Perlawanan akhir England dalam kejohanan itu dijadualkan berlangsung di Twickenham pada 26 April.
Final Piala Dunia di London dijangka mencatatkan rekod dunia kehadiran untuk acara ragbi wanita sehari.
Pasukan bola sepak wanita England pula akan bersiap sedia mempertahankan kejuaraan Euro mereka musim panas ini dengan perlawanan Liga Negara-Negara menentang juara dunia Sepanyol di Wembley pada 26 Feb. Pada Jun, Kelab Queen di barat London akan menganjurkan kejohanan tenis wanita buat kali pertama dalam masa lebih 50 tahun sebelum berlangsung kejohanan Wimbledon.
Pasukan kriket wanita England akan bertemu India dalam perlawanan T20 antarabangsa pada 4 Julai di The Oval, diikuti perlawanan antarabangsa sehari pada 19 Julai di Lord's. The Oval juga akan menjadi tuan rumah untuk final kejohanan baharu wanita T20 Blast pada 27 Julai.
Sadiq berkata: "Saya sangat teruja London akan menjadi ibu kota global yang tidak dipertikaikan untuk sukan wanita pada 2025 dengan beberapa acara terbesar dunia bakal diadakan di bandar ini tahun hadapan.
"Saya gembira kita akan menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia Ragbi Wanita dan kita juga akan menyaksikan kembalinya tenis wanita ke Kelab Queen yang bersejarah. Ini termasuk acara kriket, bola sepak, bola jaring, hoki, bola keranjang dan olahraga wanita bertaraf dunia di ibu kota ini.
"Saya menggalakkan warga London untuk mengambil peluang menghadiri beberapa acara hebat ini, memberikan sorakan kepada atlet dan ahli sukan wanita terbaik kita. Menganjurkan banyak acara sukan terkemuka dunia adalah sebahagian daripada usaha kita untuk membina London yang lebih baik untuk semua."
Final Liga Super Bola Jaring dijadualkan berlangsung di Arena O2 pada 6 Julai, manakala bintang wanita turut akan diketengahkan dalam Pertemuan Olahraga London pada 19 Julai.
-- BERNAMA