Beliau membuat kenyataan itu di Jakarta pada Isnin selepas mengadakan mesyuarat penyelarasan berhubung hasil Mesyuarat ke-19 Persidangan Pihak-pihak (COP-19) bagi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP), yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 18 Dis 2024.
Hanif berkata pengoperasian pusat penyelarasan serantau itu tertangguh kerana menunggu pemeteraian perjanjian mengenai penubuhan pusat itu oleh Thailand, Vietnam dan Filipina.
"Dalam mesyuarat hari ini (Isnin), kami meminta Kementerian Luar untuk meneruskan pemeteraian perjanjian penubuhan oleh ketiga-tiga negara melalui Sekretariat ASEAN di Jakarta," jelasnya.
Menteri itu menjelaskan Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dijangka dapat membantu Indonesia dan negara anggota ASEAN untuk bekerjasama dalam mengenal pasti langkah yang berkesan untuk menangani pencemaran jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara.
"Pusat ini juga akan membantu kita mendapatkan dana yang diperlukan dengan mendekati negara dari benua lain melalui pendekatan diplomatik," tambahnya.
Beliau turut memaklumkan pada tahun hadapan, Kementerian Alam Sekitar akan bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN, Kementerian Luar serta kementerian dan agensi berkaitan lain untuk memulakan penubuhan jawatankuasa yang akan mengurus pusat penyelarasan itu.
Hanif berkata dalam mesyuarat COP-19 AATHP, negara ASEAN menyatakan sokongan dan penghargaan terhadap kesediaan Indonesia dalam menangani isu berkaitan pencemaran jerebu rentas sempadan di rantau ini.
Mesyuarat serantau ke-20 dijadualkan berlangsung di Langkawi, Malaysia tahun depan.
-- BERNAMA