Menteri Kesihatan, Mark Butler pada Ahad mengumumkan peruntukan sebanyak AUS$174.5 juta (AS$114.8 juta) untuk menanggung subsidi vaksin RSV selepas lonjakan kes pada 2024.
Menurut kerajaan, seramai 12,000 bayi di Australia dimasukkan ke hospital setiap tahun akibat jangkitan teruk RSV, virus berjangkit yang lazimnya menjejaskan saluran pernafasan kanak-kanak kecil.
Menerusi program baharu itu, wanita yang hamil antara 28 hingga 36 minggu layak menerima vaksin percuma mulai Februari, yang akan memberikan perlindungan kepada anak mereka yang bakal lahir.
Selain itu, semua kanak-kanak di bawah umur dua tahun juga layak menerima vaksin percuma semasa musim sejuk, apabila jangkitan RSV lazimnya meningkat.
Ketika ini, vaksin RSV maternal hanya tersedia kepada wanita hamil pada peringkat akhir kehamilan di Australia dengan kos sehingga AUS$350 (AS$230.3).
Australia mencatatkan lebih 165,000 kes RSV setakat 2024, meningkat daripada 128,117 kes pada 2023 dan 95,959 kes pada 2022, berdasarkan data Sistem Pemantauan Penyakit Berjangkit Kebangsaan Jabatan Kesihatan.
Daripada jumlah kes yang direkodkan pada 2024, sebanyak 82,048 kes dilaporkan membabitkan kanak-kanak berusia di bawah empat tahun dan 14,016 kes dalam kalangan mereka yang berusia lima hingga sembilan tahun. - BERNAMA