Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata keputusan ini dianggap sebagai satu pencapaian penting dalam usaha global menuntut keadilan untuk rakyat Palestin yang terkesan akibat kekejaman Israel.
“Keputusan ini mencerminkan fasa penting dalam usaha antarabangsa untuk menuntut keadilan bagi kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“ABIM turut menghargai kesediaan pelbagai negara untuk melaksanakan keputusan ini, yang merupakan satu isyarat yang jelas akan kesepakatan masyarakat dunia terhadap perlunya tindakan tegas dan tekanan berterusan untuk menghentikan kekejaman Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keputusan ini adalah satu isyarat jelas bahawa masyarakat dunia kini lebih tegas dalam menolak sebarang bentuk kekejaman rejim Israel.
ABIM turut menyeru rakyat Malaysia agar bersatu menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berani menyuarakan pendirian Malaysia di peringkat antarabangsa demi kemanusiaan sejagat.
Tambah Ahmad Fahmi, keputusan ICC itu menuntut gerakan masyarakat sivil di Malaysia untuk memperkukuh usaha advokasi bagi memastikan keadilan terus ditegakkan untuk rakyat Palestin.
Dalam keputusan bersejarah, ICC pada Khamis mengumumkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.
Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel ke atas Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.