Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu perjuangan Palestin perlu disokong kerana ia sama sekali tidak menjejaskan pembangunan ekonomi negara.
Sebaliknya, Ahmad Fahmi berkata, usaha itu turut digembleng bersama sumbangan peribadi rakyat Malaysia yang prihatin serta memperlihatkan solidariti nasional dalam membantu rakyat Palestin yang tertindas.
"Dalam keadaan geopolitik antarabangsa yang semakin tidak menentu, pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin bukan sahaja memperkukuhkan prinsip keadilan sejagat tetapi juga menempatkan negara ini pada kedudukan strategik di peringkat antarabangsa.
"Sokongan terhadap perjuangan ini mengukuhkan peranan Malaysia sebagai negara yang dihormati dalam diplomasi global serta membuka peluang kerjasama strategik dengan negara-negara lain," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Fahmi mengulas kenyataan seorang tokoh berkaitan usaha Perdana Menteri dalam membantu proses pembinaan semula masjid dan sekolah di Gaza.
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen Malaysia terhadap solidariti antarabangsa dan bantuan kemanusiaan, selaras dengan prinsip Islam yang menganjurkan keprihatinan terhadap umat sejagat.
Pada masa sama, Ahmad Fahmi berkata, usaha aktif membela Karamah Insaniah (Kemuliaan Insan) warga Gaza serta Palestin tidak pernah menjejaskan program pembangunan infrastruktur penting seperti sekolah dan hospital di negara ini.
Sebagai contoh, sebanyak 44 buah sekolah baharu akan mula dibina seperti diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 selain RM1.35 bilion turut diperuntukkan bagi meningkatkan kemudahan kualiti infrastruktur kesihatan negara di samping pembinaan hospital baharu pada masa akan datang.
Semalam, media melaporkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyarankan kerajaan agar memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangunkan semula Gaza. - BERNAMA