JOHOR BAHRU: Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam satu kejadian rusuhan menggunakan senjata di hadapan Sport Hub, Jalan Austin Heights 7, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, insiden pada kira-kira jam 1.30 pagi itu membabitkan kira-kira 20 individu bersenjata cota besi dan kayu besbol.

“Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun bersendirian berada di dalam kenderaan pacuan empat roda telah didatangi sekumpulan individu yang bertindak menyerang serta turut merosakkan kenderaannya.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di siku kanan dan tapak tangan kiri akibat serpihan kaca," katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub memberitahu, siasatan awal mendapati insiden tersebut berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan lelaki berhampiran sebuah premis makanan, yang menyebabkan kerosakan harta benda.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda, serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.

"Kedua-dua kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Justeru, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182332 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Sinar Harian