LONDON: Kanak-kanak seawal usia 12 tahun dijadualkan hadir di mahkamah sebagai suspek yang terus didakwa berhubung kekacauan awam yang meluas, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Mereka yang hadir di mahkamah pada Isnin termasuk isteri seorang Ahli Majlis Konservatif yang dituduh menggalakkan orang ramai di media sosial untuk menyerang hotel yang menempatkan pencari suaka.

Lucy Connolly, isteri kepada Ahli Majlis West Northamptonshire, Raymond Connolly didakwa membuat hantaran di X (dahulunya Twitter) pada hari tiga gadis ditikam hingga mati di Southport, dengan menyatakan: "Pengusiran besar-besaran sekarang, bakar semua hotel yang penuh dengan mereka untuk apa sahaja yang saya peduli... jika itu menjadikan saya seorang yang perkauman, biarlah."

Wanita berusia 41 tahun dari Parkfield Avenue, Northampton, itu belum lagi membuat pengakuan terhadap tuduhan tersebut dan akan hadir di Mahkamah Mahkota di bandar itu.

Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) berkata, dua kanak-kanak berusia 12 tahun telah didakwa dengan gangguan awam yang ganas, dengan seorang dijadualkan hadir di Mahkamah Belia Liverpool dan seorang lagi di Mahkamah Majistret Manchester City.

Kedua-dua mereka dipercayai menjadi yang termuda untuk hadir di mahkamah berhubung kekacauan itu.

Juga di Manchester, seorang lelaki mengaku melemparkan sesuatu ke arah polis semasa "kekacauan memalukan" di Pusat Bandar Bolton pada 4 Ogos.

Niall Charnock, 31, telah dirakam dalam rakaman media sosial memecah sekatan polis dan melemparkan sesuatu ke arah pegawai.

Seorang lelaki berusia 41 tahun telah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun lapan bulan di Mahkamah Mahkota Sheffield kerana penglibatannya dalam rusuhan di luar sebuah hotel yang menempatkan pencari suaka di Rotherham.

Ricky Hardman, yang menjalankan perniagaan pengangkutan, telah ditahan selepas gambar dirinya memegang sebatang kayu semasa kekacauan pada 4 Ogos disiarkan dalam sebuah akhbar nasional, seorang hakim diberitahu.

Di Mahkamah Mahkota Teesside, seorang remaja yang dilihat "merayakan" sesuatu selepas membaling batu yang mengenai seorang pegawai polis semasa rusuhan di Darlington telah ditahan selama 18 bulan.

Cole Stewart, 18, adalah antara kira-kira 30 orang yang berkumpul di luar sebuah masjid di bandar itu pada 5 Ogos.

Stewart dilihat memecahkan bongkah batu besar menjadi batu kecil dan membalingnya ke arah polis, dan kemudian dilihat "merayakan dengan tangannya di udara" apabila salah satu batu itu terkena seorang pegawai di lengan.

Setakat ini, 927 orang telah ditahan dan 466 didakwa berhubung kekacauan baru-baru ini, kata seorang jurucakap Majlis Ketua Polis Kebangsaan (NPCC) pada Isnin.

Menurut Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota, setakat Isnin, 273 orang telah didakwa berhubung kekacauan itu.

Angka yang dikeluarkan oleh NPCC adalah lebih tinggi untuk menggambarkan pertuduhan yang dilakukan secara eksklusif oleh polis dan tidak melibatkan CPS.

-- BERNAMA