MOSCOW: Sekitar 62 peratus rakyat Britain menyokong penglibatan tentera untuk menghentikan rusuhan yang tercetus minggu lalu selepas serangan tikaman maut terhadap kanak-kanak di Southport, lapor Sputnik memetik tinjauan YouGov.

Pada Isnin, Setiausaha Pertahanan United Kingdom John Healey berkata bahawa kerajaan tidak akan melibatkan tentera bagi membantu menangani keganasan.

Dalam masa yang sama, 28 peratus responden menentang idea melibatkan tentera untuk menumpaskan gelombang protes.

Laporan itu menambah bahawa 52 peratus rakyat Britain berpendapat bahawa polis menjalankan tugas yang baik dalam menangani rusuhan, tetapi peratusan yang sama percaya bahawa reaksi mereka terhadap keganasan tidak cukup tegas.

Selain itu, 64 peratus responden menyokong penggunaan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan, dengan 75 peratus bersetuju penggunaan meriam air dan senjata renjat (taser), menurut laporan pada Selasa.

Tinjauan itu, yang dijalankan dari 5 hingga 6 Ogos melibatkan 2,114 orang, juga mendapati bahawa 72 peratus rakyat Britain menyokong idea untuk memperkenalkan perintah berkurung.

Penunjuk perasaan sayap kanan mengadakan protes menentang kebanjiran migran di seluruh negara selepas laporan yang tidak disahkan mendakwa bahawa penyerang di Southport merupakan seorang pelarian.

Penyerang kemudian dikenal pasti sebagai seorang remaja lelaki kelahiran Wales berketurunan Rwanda.

Serangan berlaku pada 29 Julai, mengakibatkan kematian tiga kanak-kanak dan kecederaan kepada beberapa yang lain.

Polis menahan remaja lelaki berusia 17 tahun itu dan didakwa atas tiga pertuduhan membunuh dan 10 pertuduhan cubaan membunuh.

-- BERNAMA