Dalam satu kenyataan pada Rabu, tentera memaklumkan bahawa berdasarkan permintaan kerajaan, pasukan itu akan ditempatkan di selatan Lubnan dengan penyelarasan Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan dalam melaksanakan Resolusi 1701 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Resolusi 1701 yang diterima pakai pada 11 Ogos 2006 menyeru agar permusuhan dihentikan sepenuhnya antara Hizbullah dan Israel serta penubuhan zon bebas senjata di antara Garis Biru dan Sungai Litani di selatan Lubnan, kecuali untuk tentera Lubnan dan UNIFIL.
Tentera Lubnan turut menggesa rakyat untuk menunggu sebelum kembali ke kampung dan pekan barisan hadapan yang dimasuki musuh Israel, sehingga pengunduran mereka dilakukan mengikut perjanjian genjatan senjata.
Gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah berkuat kuasa beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, mengumumkan bahawa cadangan untuk menamatkan konflik telah dicapai, dengan harapan ia akan menghentikan serangan udara Israel ke atas bandar dan pekan di Lubnan serta menamatkan pertempuran rentas sempadan yang telah berlarutan selama setahun.
Lebih 3,760 orang terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan dan lebih sejuta telah kehilangan tempat tinggal sejak Oktober tahun lepas, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.
-- BERNAMA