Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua lelaki yang berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di rumah mereka di Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor pada Selasa.
"Kedua-dua mereka kini ditahan reman dua hari sehingga esok, dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Kejadian itu berlaku selepas perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AFF 2024 antara pasukan Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, yang berkesudahan keputusan seri tanpa jaringan.
Keputusan seri tanpa jaringan itu menyebabkan pasukan Malaysia gagal menempah tiket ke perlawanan separuh akhir, seterusnya menamatkan kempen kali ini di kedudukan ketiga kumpulan.
Rusdi memberitahu, mereka disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurutnya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Seksyen itu kata beliau, memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kata Rusdi lagi, pihaknya memandang serius perkara itu dan meminta orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang salah di sini undang-undang.